PARLIMEN: PAC Siasat Projek Kem Kongkoi

Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mengesyorkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Khas bagi menyiasat ketidakpatuhan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dalam projek pembinaan Kem Kongkoi di Jelebu, Negeri Sembilan.

Pengerusinya, Datuk Seri Hasan Arifin, berkata berdasarkan mesyuarat prosiding pada 22 Mac lalu, ahli PAC membangkitkan isu seperti tiada kelulusan daripada Majlis Daerah Jelebu untuk pembinaan kem itu.

Isu lain turut dibangkitkan adalah kualiti kerja pembinaan kem yang kurang memuaskan.

Beliau berkata, berdasarkan mesyuarat sama, PAC merumuskan jawatankuasa memandang serius terhadap ketidakpatuhan yang berlaku.

Pada masa sama, meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkukuh, menyelaraskan peraturan kewangan dan pengurusan perolehan UPNM.

Katanya, selain penubuhan Jawatankuasa Siasatan Khas, PAC turut mengesyorkan supaya peranan Audit Dalam di setiap universiti diperkukuhkan lagi bagi memastikan pelaksanaan pengurusan perolehan di universiti lebih teratur.

“UPNM juga harus menggunakan prosedur kewangan sedia ada selaras dengan Pekeliling Perbendaharaan, manakala KPT perlu melihat semula semua peraturan dan tatacara kewangan

universiti bagi menyelaras urusan kewangan universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan hari ini berhubung pembentangan Laporan PAC Pengurusan Perolehan Universiti: UPNM di bawah KPT.

Dalam mesyuarat prosiding berhubung isu itu, PAC Parlimen memanggil Ketua Setiausaha KPT, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPNM, Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din yang mewakili Naib Canselor UPNM bagi menjelaskan isu yang dibangkitkan Jabatan Audit Negara.

Hasan berkata, isu itu adalah hasil penemuan Jabatan Audit Negara (JAN) dalam pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2014 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 15 Jun 2015.

Beliau berkata, orang ramai boleh membaca dan meneliti Laporan PAC Parlimen berhubung isu berkenaan dengan memuat turun di laman web PAC di alamat www.parlimen.gov.my/pac. – BH Online

Comments

comments