Penang Black Panthers Gah Gondol Empat Trofi STL

Saingan Liga Premier Sepaktakraw (STL) 2017 menutup tirai penuh dramatik malam tadi, dengan Kuala Lumpur Thunder dan Perak Bison melengkapkan kedudukan tiga teratas.

Pasukan Penang Black Panthers sudah pun mengesahkan kejuaraan lebih awal minggu lalu ketika saingan hari terakhir di Dewan Majlis Perbandaran Serdang Jaya (MPSJ) tertumpu kepada persaingan sengit antara KL Thunder, Perak Bison dan Kelantan Warriors.

Ketiga-tiga pasukan itu berebut untuk meraih dua lagi slot automatik beraksi di Piala Juara STL – yang dikhaskan untuk tiga pasukan terbaik liga.

KL Thunder menamatkan saingan di tempat kedua dengan 16 mata selepas membenam Perak Bison 2-0 (21-15, 22-20), sekali gus memaksa Perak Bison (juga 16 mata) untuk menanti kesudahan aksi terakhir Kelantan Warriors dan Terengganu Turtles bagi mengetahui nasib mereka.

Perlawanan antara dua jiran Pantai Timur itu berlangsung cukup sengit, hampir 120 minit dengan aksi bertenaga kedua-dua pasukan menyaksikan Terengganu Turtles menerusi gandingan Zulkifli Razak, Azwan Muhrim, Hanafiah Dollah menang set pertama 22-20.

Kelantan yang mengumpul 14 mata, kembali dalam persaingan selepas trio Aidil Aiman Azwawi, Hisyam Mat, Naim Izani Mohd Noor memenangi set kedua, 21-19.

Terengganu Turtles bagaimanapun membuatkan Kelantan Warriors berputih mata apabila menamatkan aksi cukup mendebarkan itu dengan kemenangan 23-21 di set ketiga.

Kemenangan menyaksikan Terengganu Turtles mengakhiri saingan di tempat kelima, manakala Kelantan Warriors pula berpuas hati di tempat keempat.

“Kita tahu wajib menang perlawanan ini dan turun dengan keyakinan tinggi, pemain sudah buat sehabis baik, tapi tiada rezeki kita, tidak bernasib baik.

“Kesilapan kita sikit saja pada set ketiga….Naim nampak kepenatan, jadi libasannya tidak stabil, tiada tenaga. Apapun kita bersyukur kerana dapat berada di empat terbaik, ” kata jurulatih Kelantan Warriors, Baharil Anuar.

Jurulatih Perak Bison, Ismi Hissan Ismail pula berkata, “Ini adalah satu bonus kerana sasaran awal ialah mahu kekal dalam STL. Kita sebenarnya sasar menang ke atas KL Thunder, tetapi pemain kepenatan selepas perlawanan menentang Terengganu.

“Saya tidak suka ihsan pasukan lain, saya mahu pasukan saya berusaha sendiri, tetapi terima kasih kepada Terengganu Turtles, ia satu perlawanan yang menarik dan mendebarkan seperti final.”

Sementara itu, Penang Black Panthers yang mendakap trofi Premier STL buat kali kedua berturut-turut pulang dengan hadiah wang tunai RM50,000.

Malam pesta mereka diceriakan lagi apabila Syahir Rosdi dinobatkan sebagai tekong terbaik dan juga Pemain Paling Bernilai STL Premier, manakala jurulatih mereka Sufian Napiah dinobatkan jurulatih terbaik.

Liga Juara STL akan bermula pada 24 November ini membabitkan lapan pasukan – Penang Black Panthers, KL Thunder, Perak Bison, Melaka Titans (juara Divisyen Satu STL) serta empat pasukan antarabangsa iaitu Thailand, Indonesia, Singapura dan India.

Info: Senarai penuh pemenang

Juara: Penang Black Panthers (RM50,000)

Naib juara: KL Thunder (RM30,000)

Tempat Ke-3: Perak Bison (RM20,000)

Tempat Ke-4: Kelantan Warriors (RM10,000)

Pemain Paling Bernilai: Syahir Rosdi (Penang Black Panthers)

Tekong Terbaik: Syahir Rosdi (Penang Black Panthers)

Apit Kanan Terbaik: Ahmad Fadzil Mustafa (Perak Bison)

Apit Kiri Terbaik: Aidil Aiman Azwawi (Kelantan Warriors)

Jurulatih Terbaik: Sufian Napiah (Penang Black Panthers) – BH Online

Comments

comments