Saya Tidak Letak Tangan Pada ROS – TPM

Oleh Hassan Omar

 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan beliau tidak ‘meletakkan tangan’ ke atas Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung permohonan Pakatan Harapan untuk mendaftarkan gabungan parti pembangkang.

Sebaliknya, ROS masih belum meluluskan pendaftaran itu berasaskan landasan undang-undang berikutan kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyelesikan masalah dalaman, selain masalah pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP sebelum ini yang tidak sah.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) amat berlapang dada untuk bertemu dengan Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“ROS bertindak secara profesional. Saya tidak meletakkan tangan dalam ROS untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak permohonan Pakatan Harapan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas tindakan Dr Mahathir hadir di KDN di Putrajaya pagi ini untuk mendapatkan penjelasan mengenai permohonan itu.

Dr Mahathir bertemu Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dan diberi penjelasan mengenai kedua-dua faktor berkenaan yang menyebabkan ROS belum meluluskan permohonan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, KDN tidak boleh menghalang jika Pakatan Harapan menggunakan isu berkenaan sebagai modal politik terutama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, masalah yang melanda PPBM dan DAP adalah punca utama proses pendaftaran Pakatan Harapan mengalami kelewatan.

Pada 2 November lalu ROS memaklumkan bahawa permohonan pendaftaran Pakatan Harapan yang dibuat pada 24 Julai lalu masih dalam pertimbangan.

Baru-baru ini, RoS memberi amaran kepada PPBM kerana melakukan tiga kesalahan, iaitu tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti sehingga boleh menyebabkan parti itu dibatalkan.

DAP pula menghadapi masalah berkaitan pemilihan semula CEC sebelum ini yang tidak sah sehingga memaksa parti itu mengadakan semula pemilihan CEC baharu minggu lalu.

Comments

comments