Terus Ketinggalan Jika Tidak Dijadikan Daerah

Bagan Datuk akan terus ketinggalan jika tidak dinaik taraf sebagai sebuah daerah baharu dalam negeri ini.

Itu ucapan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa merasmikan Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Sayang Malaysia, di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang, baru-baru ini.

Ahmad Zahid turut menjunjung kasih kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memperkenankan cadangan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjadikan Bagan Datuk sebagai daerah ke-12 dalam negeri ini.

 “Kita junjung kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak memperkenankan cadangan disarankan Menteri Besar Perak kepada kabinet melalui Kementerian Perumahan dan kerajaan Tempatan (KPKT) dan disokong Perdana Menteri, Bagan Datuk akhirnya muncul sebagai daerah baharu di Perak.

“Penduduk Bagan Datuk tidak mahu lagi mana-mana kawasan di daerah mereka terpinggir atau tertinggal seperti dahulu sebelum menjadi sebuah daerah,” katanya.

Menurut Ahmad Zahid, pelaksanaan Fiesta NBOS di Bagan Datuk memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam membangunkan Selatan Perak bermula dari Bagan Datuk hingga ke Tanjung Malim.

“Dalam suasana beginilah NBOS memainkan peranan untuk membangunkan kawasan daerah baharu seperti Bagan Datuk dan kita boleh lihat inisiatif yang telah diambil dalam NBOS melalui program yang memberikan keberkesanan tinggi.

“Ia penting kerana negara kita sedang menuju arah negara maju melalui program dasar diilham Perdana Menteri dengan segera, kos rendah dan keberkesanan tinggi,” katanya. — SINAR HARIAN ONLINE

Comments

comments