Bekas TPM Australia Yakin Kembali Ke Parlimen

Bekas Timbalan Perdana Menteri Australia, Barnaby Joyce dijangka merampas kembali kerusi Parlimen beliau hari ini, sebulan selepas terpaksa mengosongkannya berikutan isu memiliki dua kerakyatan sehingga menjejaskan majoriti kerajaan sebelum ini.

Joyce berdepan 16 pesaing, jumlah calon paling ramai dalam sejarah untuk kerusi New England di pedalaman negeri New South Wales.

Jika beliau menang, ia akan memberikan kerajaan konservatif itu majoriti tipisnya.

Beliau sebelum ini berulang kali berkata, yakin dan tidak mendabik dada untuk menang kerusi New England sekali lagi selepas lima tahun memasuki Parlimen.

Joyce adalah seorang daripada kumpulan pembuat dasar yang dikenali sebagai “Tujuh Kerakyatan”.

Kelayakannya di Parlimen dipersoalkan kerana mempunyai dua kerakyatan yang dilarang perlembagaan Australia bagi membendung kesetiaan yang berbelah bahagi.

Pada 27 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan Joyce bersama empat daripada tujuh pembuat dasar terbabit tidak layak mengekalkan kerusi Parlimen.

Joyce didapati turut mempunyai kerakyatan New Zealand, namun beliau sudah melepaskan kerakyatan itu.

Difahamkan, jawatan timbalan ketua dikosongkan sejak keputusan Mahkamah Tinggi itu. – Reuters

Comments

comments