MPM Perkasa Gerakan Penyatuan, Kekuatan Ummah

Majlis Perundingan Melayu (MPM) perlu mengangkat semula inisiatif memperkasakan agenda penyatuan dan kekuatan ummah yang kini hanya dipertanggungjawabkan kepada institusi politik.

Setiausaha Agung MPM, Prof Datuk Dr Hasan Mad, berkata agenda itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia mencabar dan banyak rintangan.

Beliau berkata, apabila wujud perbalahan yang membawa kepada perpecahan dan polarisasi dalam kalangan ummah, masyarakat menuding jari kepada institusi politik untuk dipersalahkan dan dipertanggungjawabkan dalam menyelesaikan kemelut berkenaan.

“Andai kata institusi politik itu juga mengharungi kemelut yang sama, siapakah akan berperanan untuk kembalikan kiambang yang berselerak itu? Orang Melayu boleh menaruh harapan kepada satu lagi institusi yang boleh menyelesaikan kemelut iaitu Institusi Raja-Raja Melayu.

“Namun, jika institusi ini juga tidak berupaya melakukannya, pilihan yang ada ialah ummah itu sendiri wajar membentuk gerakan bagi menyelesaikan kemelut yang dihadapi,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Wisma MPN – Bina Daulah dan Persidangan Tahunan MPM Kelapan di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. MPM yang diwujudkan lapan tahun lalu dipimpin 19 tokoh terkemuka selaku lembaga penasihat badan itu.

Antaranya, Tun Hanif Omar, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Tan Sri Napsiah Omar, Jeneral (B) Tan Sri Abdul Rahman Abdul Hamid, Tan Sri Prof Dr Mohd Yusof Noor, Tan Sri Zaleha Ismail, Tan Sri Zaman Khan, Tan Sri Syed Hamid Albar, dan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

Mengulas lanjut Hasan berkata, MPM sudah memulakan gerakan itu dan kini perlu mengangkat kembali inisiatif dengan mencetuskan gelombang gerakan ke arah penyatuan dan kekuatan bangsa.

Beliau berkata, MPM yang disertai tokoh dihormati ummah yang mempunyai pengaruh dan pengikut tersendiri wajib membina platform yang mampu mengetengahkan golongan berkenaan untuk berperanan sebagai duta penyatuan dan kekuatan ummah. -BH ONLINE

Comments

comments