MENJELANG PAU2017: ANALISIS – Kesetiaan, Perpaduan Ahli Faktor Kemenangan : Ahmad Zahid

Oeh kumpulan Editorial Berita Harian dan NST

 

PERHIMPUNAN Agung UMNO bermula Selasa ini, dianggap sebagai terpenting sebelum mendepani Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Ia medan terbaik bagi pucuk pimpinan menuntut kesiapsiagaan jentera parti sebelum ‘berperang’ berdepan pakatan pembangkang.

Apakah ahli UMNO sudah bersedia termasuk bagi mengekang pengaruh bekas pemimpin kanan, terutama Tun Dr Mahathir Mohamad? Ikuti temu bual khas wartawan BH, KADIR DIKOH dan NAZURA NGAH bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO

S: Perhimpunan Agung UMNO 2017 adalah perhimpunan terakhir menghimpunkan perwakilan parti dari seluruh negara sebelum tempoh Kerajaan Persekutuan pimpinan Barisan Nasional (BN) berakhir pada Jun 2018. Apakah agenda pengisian terpenting perhimpunan kali ini dalam usaha menyemarakkan semangat jentera parti?

J: Saya pasti Perhimpunan Agung UMNO kali ini adalah perhimpunan terakhir sebelum PRU-14. Sudah pasti perwakilan dan pemerhati serta ahli UMNO seluruh negara diminta oleh Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden parti untuk memberi fokus kepada PRU-14 bagi mencapai matlamat memenangkan parti dengan jumlah yang besar di kerusi Parlimen dan merampas kerusi yang kita kecundang atau di negeri yang kalah. Pastinya kerja sepasukan menjadi kaedah utama untuk seluruh peringkat kepemimpinan. Bukan itu sahaja, kita harus menggunakan pentas Perhimpunan Agung UMNO kali ini untuk menyampaikan dua matlamat itu bagi kita mengetepikan isu lain, terutama jika ada hasrat mana-mana individu menyelitkan isu pemilihan parti tahun depan. Secara peribadi bagi saya, biarlah soal kempen pemilihan parti kita tangguhkan hingga tahun depan supaya kita tidak akan hilang fokus bagi menumpukan seluruh tenaga dan pemikiran serta daya usaha kita ke arah PRU-14.

S: Adakah mungkin perhimpunan kali ini dijadikan pentas untuk mana-mana individu cuba menonjolkan diri supaya dapat diangkat sebagai calon PRU nanti?

J: Tidak menjadi kriteria dalam pemilihan calon di mana jika jurucakap atau perwakilan malah mana-mana pemerhati untuk menonjolkan diri kerana Perdana Menteri selaku Pengerusi BN mempunyai kaedah memilih calon menerusi kaji selidik dari segi ‘boleh menang’ dan boleh diterima oleh pengundi. Populariti seseorang itu dalam parti tidak menjadi faktor utama pemilihan mana-mana calon apatah lagi jika penonjolan dilakukan. Penerimaan pengundi lebih penting berbanding faktor lain.

S: Bagaimana Datuk Seri melihat isu ‘warlord’ kerana sesetengahnya agak berat untuk memberi laluan walaupun sudah empat lima penggal berada di kerusi Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN)?

J: Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN mempunyai kaedah tersendiri untuk menggunakan metodologi pemilihan yang baharu. Malah saya sendiri bertemu dengan 13 kepemimpinan peringkat negeri selain bahagian dari seluruh negara. Setiap kali pertemuan diadakan, saya menyatakan metodologi baharu, iaitu mengikut hierarki politik…. tidak semestinya mereka yang berada dalam struktur utama parti di peringkat bahagian akan dipilih sebagai calon. Malah mana-mana pemegang kerusi Parlimen atau DUN sekarang jika dalam uji kaji yang dilakukan secara terperinci terhadap penerimaan pengundi kepada mereka memperlihatkan bahawa peratusan penerimaan itu rendah, maka saya sudah memaklumkan kepada mereka supaya bersedia untuk tidak dipilih semula. Dalam perkara ini, kita tahu bahawa persepsi dan harapan seperti yang pernah digunakan dalam PRU terdahulu, insya-Allah tidak akan digunakan lagi.

S: Pada peringkat manakah proses pemilihan calon ketika ini. Adakah calon perlu melalui saringan pelbagai agensi penguatkuasaan, termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berapakah nama calon yang dicadangkan bagi setiap kawasan Parlimen dan DUN?

J: Semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dan Pengerusi BN negeri serta Presiden parti komponen mengemukakan nama kepada Pengerusi BN. Nama itu sedang melalui peringkat uji kaji dan kaji selidik terhadap faktor penerimaan, daya kemenangan dan juga ‘likeable’ (disukai) oleh pengundi. Oleh kerana semua nama itu sudah dikemukakan, gerak kerja untuk melihat calon dalam tiga faktor itu sedang dijalankan. Jika ada nama yang sudah dikemukakan tetapi tidak berada pada tahap penerimaan tertentu, maka kita sudah meminta sebuah pasukan bebas untuk melihat cadangan nama tokoh lain yang boleh diterima masyarakat setempat untuk turut diuji kaji. Calon juga perlu melepasi pelbagai saringan, bukan hanya saringan SPRM. Kita juga bekerjasama dengan Jabatan Insolvensi serta pihak keselamatan untuk memperincikan beberapa aspek bagi menentukan calon tidak terbabit dalam perkara yang menyebabkan mereka hilang kelayakan untuk bertanding, malah mungkin tahap kesihatan juga akan turut diambil kira dengan kaedah tertentu supaya jika mereka menang dan dalam konteks tidak mendahului hukum Allah, kita tidak mahu ada Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas itu. Sekurang-kurangnya lima calon dicadangkan bagi setiap DUN dan Parlimen.

S: Adakah ‘mood’ yang dibawa perwakilan dan pemerhati dalam Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan menjadi petunjuk terbaik untuk mengukur tahap sokongan ahli peringkat akar umbi terhadap kepemimpinan UMNO/BN?

J: Kita tidak melihat keberadaan yang ramai itu sebagai kayu ukur, sebaliknya kita melihat kesiapsiagaan jentera pada peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM), DUN, Parlimen dan negeri untuk menilai sejauh mana kerja-kerja dalam jentera pilihan raya berjalan. Ini tidak hanya mengambil kira UMNO yang menunjangi BN, tetapi kita juga turut mengambil kira kesiapsiagaan dalam kalangan parti komponen lain, terutama jika PDM itu dipengerusikan oleh pemimpin parti komponen. Namun kita mengharapkan Perhimpunan Agung UMNO kali ini dihadiri seramai mungkin pemerhati untuk memberi sokongan moral kepada perwakilan yang ada di Dewan Merdeka dan pemimpin yang berada sebagai barisan hadapan kepemimpinan negara. Bagi menyemarakkan suasana, pada hari pertama Perhimpunan Agung UMNO, kita mahu ‘memerahkan’ bukan sahaja Dewan Merdeka tetapi juga seluruh Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan jika boleh seluruh Kuala Lumpur. Pada hari akhir pula, kita akan ‘gelombang birukan’ supaya ada semangat kekitaan dalam kalangan pemerhati dan perwakilan yang hadir. Ertinya kita berbaju merah pada hari pertama dan berbaju biru pada hari terakhir. Minat dan sokongan padu ahli UMNO tidak pernah luntur. Setiap tahun mereka membanjiri Perhimpunan Agung UMNO dengan satu matlamat – Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Apabila berkumpul di bawah satu bumbung yang besar, sekali gus memberi isyarat bahawa ahli UMNO sentiasa mengimarahkan kesetiaan kepada parti dan pemimpin.

S: Apakah mesej yang Datuk Seri mahu sampaikan kepada perwakilan?

J: Kita berada dalam zon perang dan sudah tentu apabila kita menghadapi peperangan politik, permasalahan dalaman harus diselesaikan, begitu juga jika ada agenda tersembunyi untuk kepentingan peribadi, ia harus diketepikan kerana matlamat utama kita adalah untuk menimba kemenangan dengan cukup cemerlang pada kali ini. Kita menghadapi musuh politik dengan kaedah yang bijaksana, dan kita mesti juga mempengaruhi khalayak dengan kewibawaan, ertinya dengan fakta, statistik dan sudah tentu perdebatan kita mesti berwibawa. Kita perlu mempromosikan kredibiliti kita ini, terutama menerusi media dalam talian.

S: Adakah Datuk Seri menjangkakan perwakilan akan menyuarakan hasrat supaya UMNO menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam menghadapi PRU akan datang?

J: Kita tidak akan membabitkan perwakilan atau pemerhati untuk menyarankan cadangan berkenaan tetapi ia tidak menjadi satu perkara yang mustahil jika persefahaman terjalin atau melakukan pencerahan terhadap sesuatu isu. Tentunya politik matang yang dipromosikan PAS harus disambut baik oleh seluruh ahli UMNO. Namun pada hemat saya masih terlalu awal untuk kita membincangkan mengenai soal tahaluf siyasi biarpun soal tabayyun dan taawun sudah berada di dalam proses untuk kita melaksanakannya dan sebahagiannya sudah diterjemahkan pelaksanaannya. Selama ini pun, kerjasama UMNO dan PAS terlaksana atas konsep taawun (penyatuan atau kerjasama) dalam perkara kebaikan bukan perkara kejahatan.

Kerjasama antara dua parti yang berlandaskan Islam perlu dipereratkan lagi. UMNO ada kekuatan tersendiri dan PAS juga begitu. Kalau dilihat kekuatan PAS, mereka mempunyai kekuatan akar umbi sendiri yang tidak ada pada parti pembangkang lain. PAS berada di 195 kawasan daripada 222 kerusi Parlimen dan 7,063 cawangan seluruh negara. Pada PRU lalu, kebanyakan jentera PAS yang membantu memenangkan calon pakatan pembangkang daripada PKR dan DAP. Saya yakin pembangkang gabungan PKR, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah pakatan rapuh yang tidak memberi keuntungan kepada Islam dan tidak berjaya mendapat undi teras Melayu. Oleh itu, UMNO sentiasa berwaspada dan memastikan masih sebagai parti terkuat dan dominan dalam negara dan waktu yang sama, PAS juga boleh dilihat sebagai parti pembangkang Islam yang kuat andainya memenangi banyak kerusi berbanding parti lain dalam gabungan pakatan pembangkang.

S: PPBM dan Parti Warisan Sabah tertubuh hasil perpecahan dalaman UMNO. Adakah masalah dalaman ini sudah berjaya ditangani?

J: Jika diukur dengan skala satu hingga 10, insya-Allah kita berada di tahap 7.5, ertinya masih ada jendela kosong untuk kita penuhi sebanyak 2.5. Tentu ada usaha yang harus dilakukan secara berfokus bagi individu atau sesuatu kawasan untuk kita tangani permasalahan itu dan kita mengharapkan supaya kebersamaan semua pihak untuk memberi keutamaan kepada kemenangan parti mengatasi pencapaian matlamat peribadi. Kita harus menyelesaikan masalah ini sebelum PRU.

S: PRU sebelum ini juga menyaksikan penggal Parlimen digunakan sepenuhnya oleh Kerajaan BN. Adakah langkah itu memberi kelebihan kepada BN, apakah tahap persiapan UMNO/BN jika PRU-14 diadakan dalam masa terdekat?

J: Tarikh akhir penggal Parlimen dan DUN kecuali Sarawak akan berakhir pada 24 Jun 2018 tetapi kita masih ada tempoh 60 hari selepas tarikh itu untuk kerajaan sedia ada melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan PRU-14. Ertinya kita ada beberapa bulan lagi dari sekarang dan dua bulan selepas itu tetapi saya tidak fikir Perdana Menteri selaku Ketua Kerajaan akan menggunakan faktor saat terakhir untuk meminta SPR mengumumkan tarikh pembubaran, penamaan calon dan pengundian. Saya sudah bertemu dengan semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan kepemimpinan empat peringkat negeri untuk menilai kesiapsiagaan jentera pilihan raya. Saya rasakan bahawa masih ada beberapa langkah yang harus dilakukan sebelum pembubaran Parlimen dan DUN dilakukan. Namun saya rasa cukup positif bahawa setiap negeri, bahagian, PDM dan cawangan sudah berada dalam keadaan bersiapsiaga. Dari hari pertama selepas menang PRU-13 lagi sehingga sekarang, kita tidak pernah berhenti membantu rakyat, membangunkan negara dan menghala tuju negara untuk masa depan. Menjelang PRU-14, UMNO dan parti komponen BN sudah menyusun jentera dan calon pun sudah dan sedang disaring. Kita hanya menunggu masa.

S: Bagaimana UMNO/BN menangani isu rakyat, termasuk kos sara hidup yang tinggi dan masalah rakyat memiliki rumah mampu milik?

J: Ada kira-kira 12 isu yang harus ditangani oleh Kerajaan BN, kita tidak pernah mengkesampingkan isu itu. Tetapi kita sudah meletakkan usaha yang agak serius, terutama dalam menangani kos sara hidup. Saya juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kos Sara Hidup. Ahad lalu, saya meminta supaya Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk duduk bersama dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mereka mempunyai kesalingan dan kerjasama bagi menubuhkan Pasukan Petugas untuk melihat semua permasalahan, terutama membabitkan kos sara hidup. Pihak ini akan melihat kepada kos pengeluaran dan kos pendaratan (ikan) berbanding kos pengangkutan dan faktor keuntungan, adakah menyamai atau berada di peratusan tertentu berbanding harga sebenar. Unsur ‘orang tengah’ harus dilihat. Walaupun ia adalah isu lama, orang tengah mempunyai beberapa kaedah cukup licik dan menggunakan kaedah tertentu seolah-olah kenaikan kos barangan ini disebabkan kerajaan sahaja.

Oleh demikian kita mahu memperincikan faktor lain sebab kita tahu mereka mempunyai satu kartel yang menentukan keuntungan, mereka tidak mengira berapakah harga jualan asalkan kartel ini mencapai peratusan keuntungan yang tinggi, yang dimangsakan adalah pengguna dan masalah kartel adalah masalah lama yang dulu dipanggil sebagai lintah darat dan orang tengah. Saya minta pasukan petugas ini melihat perkara itu dan mengambil tindakan melalui perundangan yang ada supaya kartel tidak terus memangsakan rakyat dan pengguna harus diberikan keadilan dari segi harga akhir atau harga pengguna. Kita tahu faktor turun naik, pertukaran wang kita, faktor Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) enam peratus, kos pengangkutan, kadar keuntungan dan faktor lain mempengaruhi, tetapi di luar daripada faktor itu, adakah kartel ini mengambil keuntungan berlebihan yang dengan mudah menggunakan tokoh politik tertentu untuk turut menuding jari kepada kerajaan, sedangkan ini dijadikan agenda besar untuk mereka menyalahkan kerajaan.

S: Adakah Datuk Seri berpuas hati dengan usaha dan langkah kerajaan dalam menangani 12 isu berkenaan?

J: Saya belum berpuas hati sebab harga masih terus tinggi. Usaha pemantauan harga masih tidak mencukupi, kita tahu jumlah penguat kuasa di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tidak mencukupi untuk meliputi seluruh negara. Sebab itu mereka meminta tenaga RELA, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa agensi lain untuk membantu, malah kita akan meminta supaya persatuan pengguna dan Sukarelawan Pemantauan Harga oleh KPDNKK ini untuk membantu supaya pada setiap waktu kita dapat mengetahui harga yang dihidangkan kepada pengguna adalah harga patut bukan harga melebihi kos pengeluaran atau kos pendaratan.

S: Bagaimana faktor bekas pemimpin UMNO seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mampu menggoyahkan kekuatan UMNO dan BN?

J: Setiap kali pilihan raya, sudah pasti mereka yang berada di luar UMNO dan BN itu menjadi faktor luaran yang menyepakterajangkan UMNO yang menjadi tulang belakang Kerajaan BN. Sebelum itupun kita berdepan masalah sama pada PRU 1999 apabila ada tokoh UMNO yang tidak berada di jawatan lamanya dalam kerajaan serta parti. Begitu juga selepas berlakunya perpecahan UMNO pada 1987 yang mengakibatkan berlakunya pembatalan UMNO pada 1988, akhirnya pada pilihan raya 1990, biarpun masalah inflasi dan selepas itu berlaku deflasi serta perpecahan parti, tetap menyaksikan UMNO dan BN terus memperoleh mandat daripada rakyat untuk membentuk kerajaan.

S: Bagaimana Datuk Seri menggambarkan struktur pakatan pembangkang yang menyaksikan Dr Mahathir menerajui kepemimpinan pakatan itu?

J: Pertamanya kita harus melihat sama ada mereka mematuhi perlembagaan parti yang mereka sendiri sediakan dan sama ada pakatan dengan pelbagai nama ini adalah satu pakatan perkahwinan kekal atau perkahwinan kontrak. Dari sejarah politik mereka, perkahwinan kontrak atas nama mahu melihat kesepakatan itu untuk menumbangkan kerajaan yang ada adalah satu bentuk perkahwinan mutaah, bukan perkahwinan politik yang kekal seperti yang ada dalam BN.

S: Tidak dapat dinafikan Dr Mahathir adalah pemimpin yang menerajui UMNO untuk tempoh yang agak panjang dan sudah tentu beliau mempunyai penyokong. Bagaimana Datuk Seri melihat situasi apabila UMNO/BN terpaksa bertembung dengan pemimpin ini dalam PRU-14?

J: Seseorang pemimpin mempunyai era tersendiri. Biarpun rakyat pada satu ketika meletakkan kebolehpercayaan yang tinggi, apabila era itu sudah berlalu, maka jasanya tetap dihargai tetapi jika tindakan menikam belakang dilakukan pemimpin itu, maka kebolehpercayaan itu semakin terhakis. Di dalam UMNO/BN, kita wajib menghadapi keadaan ini kerana pemimpin itu datang dan pergi dan sebagai sebuah institusi sosial kepada orang Melayu selain parti politik, UMNO adalah sebuah wadah yang terus mengungguli agenda menterjemahkan perjuangan orang Melayu serta menjadikan Islam sebagai tonggak utama untuk pelaksanaannya.

S: Adakah Datuk Seri menjangkakan perwakilan akan menjadikan bekas pemimpin UMNO khususnya Dr Mahathir sebagai bahan kritikan ketika sesi perbahasan pada perhimpunan agung kali ini.

J: Pada hemat saya, elok kita bercakap mengenai diri kita sendiri, kurangkan menyentuh mana-mana nama di luar parti. Itu lebih baik dan tidak ada sebarang kredit yang diperoleh jika nama yang sudah sedia tenggelam dibangkitkan semula. Tindakan itu tidak menguntungkan kita, malah jika tersilap langkah, ia akan menguntungkan pihak yang bersaing dengan kita.

S: Bagaimana perasaan Datuk Seri apabila Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2018 melahirkan rasa bertuah kerana mempunyai timbalan yang juga sahabat setia untuk membantunya membangunkan negara sebagai satu pasukan?

J: Saya amat menghargai frasa atau ayat dalam ucapan bajet berkenaan, malah saya cukup terkejut namun saya amat rasa terkedu dengan ayat berkenaan. Tetapi ia tidak menyebabkan saya tenggelam dengan rasa keterpujian oleh seorang pemimpin utama. Mungkin ia berlatar belakangkan hubungan kami berdua yang sudah berjalan begitu lama. Secara rasminya saya pernah menjadi Setiausaha Politik kepada beliau ketika menjadi Menteri Belia dan Sukan. Saya dilantik pada 1 Oktober 1987 dan hubungan itu tidak pernah putus malah terus dipertahankan dan semakin kukuh hingga sekarang. Saya membantu Perdana Menteri sepenuhnya dalam kerajaan dan parti.

S: Apa nasihat Datuk Seri kepada perwakilan Perhimpunan Agung UMNO?

J: Saya tidak layak untuk memberi nasihat tetapi sekadar memberikan pandangan supaya dalam keadaan kita menghadapi PRU-14 ini, kita ketepikan jika ada permasalahan yang ada di semua peringkat. Jika ada perselisihan di peringkat akar umbi, cawangan, PDM dan bahagian, kita ketepikan. Jika ada yang berniat untuk bertanding, mengambil alih jawatan di peringkat cawangan atau bahagian, ketepikan. Saya sudah memberitahu di peringkat nasional, agenda itu adalah untuk tahun hadapan. Kita perlu fokus dan mengutamakan kemenangan yang besar pada PRU-14. — BH ONLINE

Comments

comments