1,600 Warga UiTM Sertai ‘Paint With Me’

Seramai 1,600 sukarelawan warga Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyertai program `Paint with Me’ sempena Hari Sukarelawan Sedunia 2017.

Naib Canselornya, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, berkata semangat yang ditonjolkan penuntut, pensyarah dan kakitangan UiTM membuktikan warga universiti itu sentiasa mendokong aspirasi kerajaan yang mahukan rakyat memiliki semangat kesukarelawan tinggi.

Katanya, program sebegini membuktikan pelajar UiTM bukan sahaja cemerlang dari segi akademik semata-mata, malah cergas menjalankan aktiviti fizikal.

“Hari ini, aktiviti mengecat dilakukan serentak di beberapa lokasi iaitu di Kolej Kediaman Melati, Mawar, Anggerik, Perindu, Teratai dan Seroja, pekarangan Masjid Tuanku Mizan, Pusat Islam UiTM dan Fakulti Komputer Sains,” katanya.

Beliau berucap merasmikan program `Paint With Me’ di Akademi Pengajian Bahasa (APB) di sini. Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said.

Hassan berkata, warga UiTM turut menyumbang kreativiti dengan menghasilkan 50 mural pada dinding sekolah, pejabat belia dan kawasan awam.

“Bilangan mural yang dihasilkan warga UiTM adalah paling banyak mengatasi semua universiti awam dan swasta serta Kolej Komuniti di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, penuntut Yan Ramdayani Ismail, 21, berkata aktiviti sukarelawan sudah menjadi rutin hari minggunya sejak berusia 18 tahun.

“Saya mula menyertai aktiviti sebegini ketika menyertai Program Latihan Khidmat Negara. Pada mulanya saya tidak suka melakukannya tetapi kekerapan berbuat demikian menyebabkan saya rasa seronok.

“Ini antara cara saya menghilangkan tekanan selepas menghadiri kelas. Pelajar lain mungkin gemar menonton wayang dan bersiar-siar tetapi bagi saya ini adalah terapi terbaik,” katanya. -BH ONLINE

Comments

comments