PAU2017: ANALISIS: Pemberi Rasuah Harus Turut Dihukum

Oleh Hassan Omar

Rasuah tidak akan berlaku jika tiada pihak yang menyogok atau menghulurkan sesuatu ganjaran kepada pihak yang memegang kuasa yang mampu memudahkan sesuatu urusan.

Seharusnya pihak yang menyogok itu turut dihukum kerana sekarang ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lebih banyak menghukum pihak yang menerima rasuah berbanding pihak yang memberi ganjaran itu.

Amat wajar perkara itu ditekankan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Sidang Kemuncak Pemerkasaan Generasi Baharu bertajuk ‘Integriti dan Rasuah’ anjuran Kelab UMNO Pelajar Luar Negara sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ini kerana kebanyakan pihak yang menyogok itu hanya akan membuat laporan kepada SPRM apabila pihak yang disogok tidak berjaya mendapatkan sesuatu atau merealisasikan permintaan mereka.

Hanya selepas tersepit berikutan sogokan yang diberi gagal membolehkan mereka memperoleh apa yang dihajatkan, mereka membuat laporan itu dengan harapan pihak yang menerima sogokan itu dihukum.

Amat tepat juga apabila Ahmad Zahid memberi penekanan kepada aspek pembanterasan rasuah oleh SPRM dalam kalangan syarikat swasta, terutama korporat yang digolongkan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri meminta semua pihak, terutama anggota masyarakat secara keseluruhannya supaya membantu SPRM membanteras rasuah, sekali gus membaiki kedudukan Malaysia di tangga ke-55 mengikut ukuran skor rasuah oleh Transparency International (TI).

Beliau menegaskan, kedudukan berkenaan memberi persepsi negatif terhadap Malaysia dan beliau mahukan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada di luar negara atau dalam negara berusaha membaiki kedudukan itu dengan tidak terbabit dalam rasuah apabila sudah memegang jawatan dalam sektor awam atau swasta.

Comments

comments