DEWAN NEGARA : Dua Angkat Sumpah Sebagai Anggota Dewan Negara

Naib Presiden Kanan Parti Demokratik Progresif Sarawak, Datuk Paul Igai dan Naib Pengerusi MCA Melaka Lee Tian Sing hari ini mengangkat sumpah sebagai senator bagi tempoh tiga tahun di Dewan Negara di sini.

Kedua-dua mereka yang dilantik buat pertama kali, mengangkat sumpah di hadapan Yang DipertuaDewan Negara Datuk S. A. Vigneswaran.

Paul, 60, berasal dari Kapit, Sarawak, memiliki ijazah Perniagaan (Pengangkutan) daripada Royal Melbourne Institute of Technology, Australia.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam politik antaranya pernah memegang jawatan Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak dari 2002 hingga 2016.

Lee, 64, pula ialah Ahli Majlis Perbandaran Alor Gajah dari 1991 hingga 2009, selain itu beliau juga aktif sebagai penasihat kepada rumah-rumah ibadat di Melaka, antaranya Penasihat Persatuan Penganut Dewa Fong Sun See, Pantai Kuala Sungai Baru.

Ketika ditemui pemberita selepas upacara berkenaan, Paul berkata pelantikan itu satu penghargaan dan menjadi pemangkin baginya untuk menyumbang khidmat bakti khususnya kepada masyarakat di Sarawak.

Paul berkata beliau akan mengutamakan isu pertanian dan penternakan di Sarawak Di Parlimen kerana sektor itu masih belum berkembang sepenuhnya, selain juga usaha mengoptimumkan penggunaan tanah yang boleh memberi hasil kepada penduduk.

Sementara itu, Vigneswaran dalam ucapan aluannya berharap setiap anggota Dewan Negara memperkasakan imej Parlimen sebagai sebuah institusi perundangan yang berwibawa dan disanjung tinggi di persada antarabangsa serta mendukung visi rakyat secara gigih ke arah membina negara yang maju dan progresif dalam semua aspek pembangunan. — BERNAMA

Comments

comments