Dron Ganti CCTV

Inovasi baharu penggunaan dron yang dikawal secara automatik bagi tujuan keselamatan diperkenalkan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), mampu menggantikan sistem kamera litar tertutup (CCTV).

Menerusi inovasi Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan UMK, teknologi dron itu dikemaskini dari segi pengecasan secara automatik berbanding sebelum ini yang perlu dicas secara manual bagi penggunaan maksimum 20 minit.

Timbalan Pengarah Institut Perusahaan Kecil dan Sederhana (ISME) UMK, Dr Razman Hafifi Redzuan, berkata setiap kali selepas melakukan kawalan, dron yang dikawal secara automatik itu juga akan mendarat di pusat kawalan di UMK untuk cas.

“Kita melakukan alternatif baharu dengan memasang satu suis utama di bahagian belakang dron bagi membolehkannya melakukan proses mengecas secara automatik.

“Begitu juga dari segi penghantaran visual, setiap pergerakan dikenal pasti akan dirakam,” katanya ketika ditemui selepas perasmian Seminar Serantau Pengurusan dan Rantaian Bekalan 2017 (ResoMac) di Dewan Terbuka Keusahawanan di sini, hari ini.

Sebanyak 45 keterangan inovasi dipamerkan dalam seminar terbabit termasuk 30 peratus daripadanya sudah dilancarkan secara langsung kepada industri.

Razman berkata, inovasi itu dicipta selama empat bulan dan mula dilancarkan pada Mac lalu dengan menjadikan kawasan keseluruhan UMK di Pengkalan Chepa di sini sebagai lokasi pertama.

Beliau berkata, inovasi yang dihasilkan itu turut mendapat perhatian daripada beberapa syarikat tempatan yang berminat bagi kawalan di sekitar premis bagi mengelakkan kecurian atau pecah masuk.

“Teknologi ini sangat sesuai untuk operasi meninjau premis, malah dengan harga yang paling minimum, di bawah RM1,000 untuk kos pemasangan lebih murah berbanding CCTV.

“Setiap pergerakan dikenal pasti akan terus dirakam dan dihantar dengan segera kepada pemilik premis menerusi e-mel di telefon bimbit,” katanya. -BH ONLINE

Comments

comments