PAU2017: ANALISIS – Cukuplah Dua Kali Allah Menguji UMNO dan BN

Oleh Hassan Omar

Cukuplah dua kali Allah SWT menguji UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan dugaan berat dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008 dan PRU-13 pada 2013 dan menjelang PRU-14 tidak lama lagi, seharusnya UMNO dan BN tidak hanya tinggal nama.

Aspek berkenaan ditekankan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Konvensyen P&M 2.0 Penerangan dan Media Istiqamah Dalam Perjuangan sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Seharusnya peringatan Ahmad Zahid diambil serius oleh ketua penerangan UMNO negeri dan bahagian yang menghadiri program itu kerana dalam tempoh yang tidak sampai setahun atau mungkin kurang daripadanya, UMNO dan BN sekali lagi akan menghadapi ujian apabila kuasa untuk membentuk kerajaan diserahkan kepada rakyat, khususnya pengundi.

Namun demikian, peringatan tegas Ahmad Zahid itu tidak seharusnya melemahkan semangat jentera UMNO untuk berusaha lebih gigih bagi memastikan parti bukan setakat mampu mempertahankan kerusi sedia ada, malah merampas kembali kerusi yang jatuh kepada pembangkang dalam PRU-12 dan PRU-13.

Untuk tujuan itu, beliau mengingatkan mereka yang memegang jawatan berkenaan supaya sentiasa memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat (IT) dengan menjadikan telefon pintar sebagai mekanisme utama untuk menyebarkan maklumat yang mampu memberi penjelasan secara cepat, tepat dan mudah.

Dengan mengambil contoh ceramah politik pemimpin UMNO di ceruk kampung, beliau menegaskan bahawa kandungan ceramah itu seharusnya mampu disebarluaskan kepada khalayak yang lebih ramai melalui laman sosial.

“Kalau kita berceramah mengenai penyalahgunaan dadah, penagih dadah tidak akan hadir. Begitu juga dengan ceramah politik, hanya orang itu sahaja yang turun.

“Bagaimanapun, sekarang maklumat ceramah kita boleh disebarkan melalui telefon bimbit. Kita harus terus bekerja kuat untuk mencapai kecemerlangan dalam PRU-14,” katanya.

Comments

comments