PETRONAS Tembusi 9 Negara Di Afrika

Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menerusi anak syarikat milik penuhnya di Afrika Selatan, Engen Holdings (Pty) Ltd, akan mengembangkan operasinya ke sembilan negara baharu dengan kewujudan 2,100 stesen servis merentasi 24 pasaran negara Afrika.

Hari ini, Engen dan Vivo Energy Holding BV mengumumkan perjanjian bernilai 3.5 bilion rand (AS$256 juta) untuk menggabungkan beberapa aset runcit bahan api mereka.

“Pasaran baharu bagi Vivo Energy yang termasuk dalam transaksi berkenaan adalah Republik Demokratik Congo, Zimbabwe, Gabon, Rwanda, Mozambique, Tanzania dan Malawi.

“Operasi Engen di Kenya juga adalah sebahagian daripada transaksi ini.

“Engen Holdings (Pty) Ltd akan mengekalkan kepentingannya dalam Engen Petroleum Limited (perniagaan dan penapisan di Afrika Selatan) dan perniagaan Engen yang lain di Mauritius, Botswana, Ghana, Namibia, Swaziland dan Lesotho, yang tidak termasuk dalam transaksi ini,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan bersama, hari ini.

Vivo Energy, yang mengendalikan lebih daripada 1,800 stesen bahan api di 15 negara Afrika di bawah jenama Royal Dutch Shell, akan menukar sejumlah sahamnya dengan saham di Engen Holdings.

Difahamkan, perjanjian itu mewakili kira-kira 20 peratus daripada nilai ekuiti Engen.

Urus niaga itu mungkin membabitkan ‘elemen tunai’ tetapi tiada nilai atau terma perjanjian yang didedahkan.

Pengarah dan Ketua Eksekutif Engen, Yusa Hassan, berkata Engen teruja untuk menyertai usaha strategik dengan Vivo Energy, yang jelas sejajar dengan aspirasi pertumbuhan syarikat itu di Afrika.

“Kami akan berusaha untuk membina kekuatan masing-masing menerusi kerjasama ini untuk manfaat pelanggan kami di seluruh benua ini,” katanya.

Apabila digabungkan, operasi kedua-dua syarikat berkenaan akan memberikan Vivo Energy akses kepada 300 kedai berjenama Engen di Republik Demokratik Congo, Zimbabwe, Zambia, Gabon, Rwanda, Mozambique, Tanzania, Reunion, Malawi dan Kenya.

Engen akan mengekalkan kawalan tunggal operasinya di Afrika Selatan, Botswana, Lesotho, Swaziland, Namibia, Ghana, Mauritius dan juga penapisan minyak di Afrika Selatan, yang mempunyai kapasiti untuk memproses 120,000 tong minyak setiap hari.

Vivo Energy dimiliki bersama oleh Vitol SA, yang berpusat di Geneva dan syarikat swasta ekuiti yang berpusat di Afrika, Helios Investment Partners.

Pada tahun 1998, PETRONAS membeli Engen dalam perjanjian bernilai AS$700 juta sebelum menjual kepentingannya kepada Phembani.

Jika perjanjian dengan Vivo diteruskan, Phembani juga akan mengambil alih kepentingan dalam syarikat Belanda itu dan Vivo kemudian dapat memulakan dagangan sahamnya di Bursa Saham London pada tahun 2018.

Pada masa ini, terdapat lebih 1,800 stesen servis di 15 pasaran Afrika, memasarkan sumber Vivo Energy, mengedar, memasarkan dan membekalkan bahan api berjenama Shell dan pelincir kepada pelanggan runcit dan komersial di seluruh benua.

Vivo Energy dimiliki bersama oleh syarikat tenaga dan komoditi Vitol serta firma pelaburan swasta, yang tertumpu di Afrika Helios Investment Partners.

Mengulas mengenai transaksi berkenaan, Ketua Eksekutif Vivo Energy, Christian Chammas, berkata dalam enam tahun pertama operasi syarikat itu, pemegang saham telah melabur untuk mengembangkan Vivo Energy, meningkatkan rangkaian dari sekitar 1,300 kepada lebih 1,800 stesen servis dan menambah lebih daripada 400 kedai baharu, selain menawarkan restoran perkhidmatan pantas.

“Saya gembira dengan perjanjian ini kerana ia akan menambah beberapa pasaran baharu di Afrika untuk perniagaan kami sehingga kami dapat menawarkan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada pelanggan,” katanya. — BH ONLINE

Comments

comments