Ajinomoto Sasar Jualan RM1 Bilion

Ajinomoto (Malaysia) Bhd (Ajinomoto) menyasarkan hasil jualan mencecah RM1 bilion pada tahun 2025, berbanding RM420 juta yang dicatatkan bagi tahun kewangan 2016, berakhir 31 Mac 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusannya, Naoko Yamamoto, berkata sasaran jangka panjang yang menyaksikan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sembilan peratus itu akan disokong kestabilan dan pengukuhan dalam segmen perniagaan sedia ada.

Beliau berkata, ketika ini, portfolio pengguna menyumbang 91 peratus, manakala bakinya adalah daripada industri.

Katanya, Ajinomoto menggariskan pelbagai usaha untuk merealisasikan sasaran berkenaan, termasuk mempelbagaikan tawaran produk, memperkenalkan produk baharu dan menggunakan sumber yang dimiliki bagi memperkukuhkan asas perniagaan.

“Mulai tahun depan hingga 2020, kami akan memperkukuhkan struktur perniagaan, melancarkan produk bermusim dan baharu untuk menarik pelanggan.

“Kita juga akan memperkenalkan ‘Open New Sky’ iaitu mempelbagaikan penawaran produk bagi jualan serta keuntungan masa depan.

“Bagi tahun kewangan 2020, kami menyasarkan pendapatan jualan sebanyak RM686 juta dengan CAGR tujuh peratus. Portfolio pengguna menyumbang 93 peratus, bakinya disumbang oleh industri,” katanya pada taklimat media, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah dan Ketua Pegawai Pentadbiran Ajinomoto, Kamarudin Rasid; serta Pengurus Besar dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Ajinomoto, Lau Chin Mun.

Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2017 berakhir 30 September, Ajinomoto mencatat hasil jualan kira-kira RM211.8 juta, yang menyumbang kepada keuntungan selepas cukai sebanyak RM24.4 juta.

Yamamoto berkata, bagi tempoh separuh kedua tahun kewangan 2017 berakhir 31 Mac 2018, Ajinomoto menjangkakan pertumbuhan kekal mampan dan berkemampuan untuk melepasi pendapatan jualan setahun penuh berjumlah RM420 juta yang dicatat pada tahun kewangan 2016.

“Kami positif dengan unjuran separuh kedua, yang mana pertumbuhan perniagaan pengguna dan industri kekal positif.

“Ajinomoto juga bercadang untuk menggunakan sepenuhnya kapasiti kilang kami di Kuchai Lama, yang mana ketika ini sekitar 70 hingga 80 peratus dimanfaatkan,” katanya.

Bagi perniagaan eksport, beliau menjelaskan, Ajinomoto akan memberi tumpuan pada pasaran Asia Barat, yang memiliki potensi berkembang pesat selaras dengan pengiktirafan persijilan halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk semua produk yang ditawarkan.

“Kami tidak menolak untuk mengeksport ke China atau India jika ada peluang, namun, pada masa ini fokus adalah untuk meneroka pasaran Asia Barat yang menawarkan potensi kepada Ajinomoto untuk terus berkembang,” katanya.

Ketika ini, perniagaan domestik menyumbang 75 peratus kepada pendapatan Ajinomoto, manakala baki 25 peratus disumbang oleh eksport. – BH Online

Comments

comments