Bina Mahligai Cinta

Dengan wajah berseri-seri, Nonny Nadirah Zainuddin, 28, memaklumkan dia akan melangsungkan pernikahan pada Februari atau Mac tahun depan bersama jejaka yang dikenali lapan tahun lalu.

Menurut penyanyi dan pelakon itu, perkara yang baik tidak perlu diselindung dan dia berharap peminat mendoakan supaya mahligai yang bakal dibina itu bahagia dan dirahmati Allah SWT selagi hayat masih ada.

“Dengan usia perkenalan yang panjang, sudah tiba masanya kami menoktahkannya dengan satu ikatan yang tersimpul kemas. Perhubungan terjalin selama tempoh itu ada pasang surutnya, namun saya yakin dia lelaki terbaik untuk saya jadikan suami serta pembimbing saya dan anak-anak nanti.
“Walaupun hubungan kami pernah bergelora, dia orang yang sentiasa ada di sisi tatkala susah dan senang serta begitu memahami saya. Keluarganya juga seperti keluarga saya sendiri memandangkan saya bersendirian di sini kerana keluarga menetap di Sabah.

“Usia kami berdua juga sudah begitu sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai suami isteri,” katanya.

Berkisar kepada kerjaya seninya, Nonny bersyukur selama 10 tahun berada dalam industri hiburan, dia terus kekal dan setiap detik yang dilalui rezekinya terus bertambah.

“Orang selalu berkata, rezeki orang nak kahwin murah dan saya juga dapat merasainya kerana ada saja tawaran berlakon, apatah lagi dalam keadaan sekarang saya sedang membuat persiapan perkahwinan,” katanya.

Nonny baru saja selesai menjalani penggambaran drama Melankolia untuk slot Samarinda TV3 yang ditayangkan Februari depan.

Dia membawa watak utama di samping Aliff Aziz dan Datuk Seri Eizlan Yusof.

“Alhamdulillah, saya biasanya membawa watak pembantu, tetapi kali ini diberi kepercayaan untuk watak utama. Pastinya tanggungjawab itu saya galas dengan sedaya upaya,” katanya.

Bulan ini, Nonny terbabit dalam penggambaran drama Orang London Balik Ke Kampung.

Dia juga baru siap merakamkan single terbaru khusus untuk bapanya yang meninggal dunia dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tindakannya memuat naik gambar dia bersedih atas pemergian itu kerana tidak dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir, ramai yang mengecamnya.

“Itu bukan gambar baru. Kadang-kadang kesedihan mengenangkan pemergian orang yang kita sayang begitu terasa selepas bertahun-tahun dia tiada dengan kita. Tiba-tiba rasa sunyi dan rindu sangat.

“Sebab itu saya muat naik gambar itu dan tanpa ada maksud apa-apapun. Tambahan pula saya mahu berkahwin, alangkah bahagianya jika ayah masih ada,” katanya. -HMETRO ONLINE

Comments

comments