Ibnu Musayyib Digelar ‘Periwayat Umar’

IBN Musayyib atau nama sebenarnya, Said ibn Musayyib ibn Hazam ibn Abi Wahab al-Makhzumi al-Qurasy adalah tabiin yang sangat masyhur.

Beliau seorang imam, ahli hadis serta ahli fikah yang terkemuka dan terkenal di Madinah.

Saidina Said al-Musayyib lahir pada tahun 15 Hijrah dan beliau sempat melihat ramai sahabat Nabi SAW, antaranya Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali.

Selain itu beliau juga sempat melihat Ummahatul Mukminin antaranya Saidatina Aisyah dan Saidatina Ummu Salamah.

Kisah Saidina Said Al-Musayyib dikongsikan Ustaz Muhadir Joll dalam segmen Ibrah (Salafus Soleh) di IKIMfm.

Beliau memetik kata-kata Saidina Ibn Umar ketika melihat Saidina Said Al-Musayyib, “Sekiranya Rasulullah SAW melihat Ibn Musayyib, nescaya akan menggembirakan Baginda.”

Menurut Muhadir, Saidina Said Al-Musayyib lahir dua atau empat tahun selepas pemerintahan Saidina Umar. Beliau seorang yang sangat kuat beribadah dan tidak pernah meninggalkan solat jemaah selama 40 tahun.

Tidak tinggal solat jemaah

Imam Ahmad ibn Hanbal menerusi kitab Imran al-Jauni berkata, Said Al-Musayyib tidak pernah tinggal solat jemaah selama 40 tahun dan tidak melihat leher jemaah kerana berada di saf hadapan.

Said Al-Musayyib menceritakan, tidaklah muazzin itu melaungkan azannya selama 30 tahun melainkan aku sudah berada di masjid.

Pada satu ketika beliau pernah mengalami sakit mata dan orang ramai menasihatinya pergi ke satu tempat bernama Aqiq untuk melihat kehijauan supaya matanya yang merah dapat kembali pulih dan segar seperti biasa.

Kata beliau, “Sekiranya aku pergi ke tempat yang cantik itu, bagaimana aku dapat menunaikan solat malam dan solat subuh berjemaah.”

Ramai guru yang telah mendidik dan menjadikan Said al-Musayyib ulama hebat yang sangat disegani.

Imam Al-Zuhri yang ditanya dengan siapa Said al-Musayyib belajar memberitahu beliau pernah belajar daripada Saidina Zaid ibn Thabit dan duduk di majlis ilmu Saad ibn Jubair.

Selain itu, beliau juga belajar dengan Ibn Abbas dan Ibn Umar serta pernah mendengar daripada Saidatina Aisyah dan Saidatina Ummu Salamah.

Banyak riwayat hadis

Saidina Said Al-Musayyib berkahwin dengan anak Saidina Abu Hurairah kerana ingin mengambil keberkatan anak orang soleh dan yang utama untuk mempelajari ilmu hadis.

Beliau banyak meriwayatkan hadis dan kebanyakan riwayat beliau bersambung dengan Saidina Abu Hurairah.

Beliau yang juga anak murid Saidina Umar banyak mendengar daripada sahabat.

Dikatakan tidak ada siapa yang lebih alim dan lebih tahu daripada Said Al-Musayyib mengenai apa yang telah diputuskan atau difatwakan oleh Saidina Umar dan Saidina Uthman.

Beliau mendapat jolokan ‘periwayat Umar’ kerana apa yang disebut oleh Saidina Umar semua dihafal dan diketahuinya.

Beliau menjadi rujukan mengenai apa yang dikatakan Saidina Umar mengenai satu-satu perkara.

Bidang ilmu tidak boleh dipisahkan daripada Saidina Said al-Musayyib.

Beliau pernah berjalan beberapa hari dan malamnya hanya untuk menuntut satu hadis sahaja.

Ketokohan beliau disebut oleh Imam Kudamah ibn Musa kerana Said al-Musayyib telah berfatwa ketika sahabat masih hidup.

Kuasai ilmu al-Quran

Menurut Muhammad Ibn Yahya Ibn Hayyan, Saidina Said Al-Musayyib terkehadapan dalam fatwa dan beliau adalah faqih dalam kalangan fuqaha.

Walaupun begitu, beliau tidak banyak bercerita mengenai al-Quran kerana menurut Yahya Ibn Said, apabila ditanya kepada Saidina Said Al-Musayyib mengenai ayat al-Quran, katanya, beliau tidak berani untuk berkata sesuatu mengenai al-Quran.

Menurut Imam Al-Zahabi, disebabkan itu, sangat sedikit tafsir yang datang daripada Saidina Said al-Musayyib sekalipun beliau menguasai ilmu al-Quran.

Biarpun kuat beribadah, beliau tidak meninggalkan dunia dan menggalakkan orang bekerja, berniaga serta mencari rezeki yang halal. Beliau seorang yang suka berniaga kain tenun.

Dari segi ibadah, Yazid Ibn Hazim berkata, Saidina Said Al-Musayyib sangat suka berpuasa.

Sementara menurut Imran Ibn Abdullah Al-Khazza’i, jiwa Said Al-Musayyib lembut, tenang dan lebih ringan daripada lalat. — BH ONLINE

Comments

comments