Lofa Mohon Maaf Jika Dilihat Kasar, Berlagak

Pengacara, Neelofa, memohon maaf jika ada yang menyifatkan cara dan maklum balasnya ketika menemubual penyanyi Tak Tun Tuang, Upiak Isil, menerusi program Meletop, baru-baru ini, dilihat seperti kasar serta berlagak.

Jujurnya, kata Neelofa, tiada sedikit pun niat untuk beliau berbuat begitu, apatah lagi merendah-rendahkan artis dari seberang itu.

Sebelum ini, pengacara yang juga pelakon itu dikecam netizen apabila dirinya dikatakan seperti berlagak dan tidak menghormati Upiak ketika penyanyi itu muncul dalam program terbabit.

“Jika diikutkan, ketika mengacarakan program itu bersama Nabil Ahmad, kami sangat seronok menemubualnya. Kami ketawa kerana dia memang seorang yang kelakar dan spontan.

Saya sendiri tergelak besar apabila dia memaklumkan sudah ada 19 album, tetapi satu saja yang laku.

“Cuma, ketika program itu bersiaran, saya dan Nabil tidak faham bahasa yang digunakan kerana loghat penyanyi dari Bukit Tinggi, Padang, itu sangat pekat, hinggakan saya sendiri terpaksa ulang soalan dan apa yang diperkatakannya berkali-kali.

Saya cuba memahami apa yang dituturkan olehnya sebaik mungkin sebelum melontarkan soalan seterusnya.

“Karakter dia sendiri sangat berwarna. Saya sebagai pengacara pula cuba memberikan reaksi terbaik terhadap setiap tetamu yang diundang ke program itu.

Jika ada yang salah anggap dan nampak diri ini kasar atau bersikap kurang ajar, saya dengan rendah hati memohon maaf,” kata bintang yang mesra disapa dengan panggilan Lofa ini.

Beliau yang ditemui pada majlis memperkenalkan telefon bimbit Oppo F5 6GB (Edisi Merah), jenama yang mendapat sokongannya, di sini pagi tadi, turut melihat konsep program hiburan berkenaan bersifat santai dan kehadiran Upiak bagai memberikan gambaran terhadap apa yang mahu ditonjolkan menerusinya.

“Program ini sangat santai. Saya tak perlu jadi formal dan mengikut protokol.

Jadi, sebagai hos, saya mahupun Nabil cuba untuk tidak terlalu mencuba menentukan rentaknya. Kita sebaliknya cuba mengikut aliran tetamu yang diundang,” kata pelakon drama Red Velvet itu.

Pada majlis berkenaan, Oppo, yang turut bekerjasama dengan jenama diwakili Neelofa, Swarovski, memperkenalkan kotak hadiah edisi terhad berwarna merah, mengandungi satu sarung telefon bertatahkan kristal. Ia ditawarkan kepada 1,000 pelanggan pertama telefon pintar itu. -BH ONLINE

Comments

comments