MIC Ikrar Sokongan Penuh Masyarakat India Kepada BN

MIC sedang memberi tumpuan kepada pengundi masyarakat India supaya memberi sokongan padu kepada calon Barisan Nasional (BN) untuk memperoleh semula kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam hari ini.

Beliau berkata adalah penting bagi parti MIC untuk mengukuhkan kerjasama serta memberi sokongan penuh bagi memastikan usaha membela rakyat dapat diselaraskan dan memberi kesan maksimum.

“Kita memberi sokongan penuh dalam usaha mendapatkan majoriti dua pertiga bagi kerajaan BN. Sokongan itu bukan hanya bagi kerusi yang ditandingi oleh MIC, tetapi pada kerusi-kerusi Parlimen yang lain, yang mana jumlah pengundi India tinggi di kawasan-kawasan itu boleh mempengaruhi keputusan PRU,” katanya.

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, ditemui pemberita selepas menyerahkan cek kepada guru besar daripada 33 buah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) bagi projek pembinaan 50 bilik darjah prasekolah SJKT di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO bergerak secara holistik dalam usaha BN mencapai kemenangan majoriti dua pertiga dalam PRU14 pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 semalam.

Terdahulu, Dr Subramaniam dalam ucapan perasmiannya, berkata kerajaan, dalam pembentangan Bajet 2017, memperuntukkan RM10 juta bagi projek pembinaan 50 bilik darjah prasekolah SJKT bagi tahun ini, yang mana setiap sebuah bilik darjah diperuntukkan RM200,000.

Katanya, proses pembinaan bilik darjah prasekolah itu akan bermula minggu hadapan, dijangka selesai dalam tempoh dua hingga tiga bulan dengan setiap kelas boleh menempatkan 25 pelajar.

“Ini jelas komitmen perdana menteri dalam memartabatkan imej dan infrastruktur sekolah-sekolah jenis kebangsaan Tamil di negara ini.

“Pendidikan prasekolah sangat mustahak kerana ia memberi pendedahan awal serta kemahiran menyesuaikan diri sebelum melanjutkan pendidikan di sekolah rendah,” katanya.

Menurutnya, Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India (SEDIC) memperuntukkan RM6.5 juta kepada beberapa badan bukan kerajaan untuk menyediakan peluang pendidikan prasekolah kepada 7,000 kanak-kanak berumur lima hingga enam tahun setiap tahun, sementara bilik-bilik darjah prasekolah SJKT siap dibina di sekolah-sekolah lain.

Pada masa kini, terdapat 262 bilik darjah prasekolah di 206 SJKT di seluruh negara yang mana melalui projek pembinaan prasekolah ini, bilangan bilik darjah akan meningkat menjadi 312 bilik darjah prasekolah di 239 SJKT di negara ini, katanya. – BERNAMA

Comments

comments