Fazura-Fattah Dapat Perhatian Media Indonesia

Pasangan pengantin baharu, Nur Fazura Sharifuddin dan suami, Fattah Amin, menjadi tumpuan media serta peminat Indonesia pada majlis tayangan perdana filem lakonan aktres berkenaan, Ayat-Ayat Cinta 2, di sini.

Fazura, yang anggun dalam persalinan rekaan Rizman Ruzaini, sendiri kelihatan cukup ceria dan teruja melayan setiap permintaan untuk menemu bual dan merakam foto.

Mengulas perkara itu, Fazura berkata, keadaan itu sangat menyenangkan dirinya, terutama apabila suami tersayang sanggup menemaninya ketika menghadiri acara penuh bermakna berkenaan.

“Kebetulan Fattah tidak ada penggambaran, jadi bolehlah dia menemani saya ke sini. Kalau dulu, hanya gambar saya yang dirakamkan jurufoto, kali ini mereka mahu ambil gambar kami berdua pula,” katanya kepada BH Online.

Sementara itu, Fattah, yang kini dapat disaksikan lakonannya menerusi drama My Coffee Prince, turut mengaku dia diintai penerbit Indonesia bagi mengembangkan bakat di negara berkenaan.

“Ada juga produser di sini yang bertanya, apakah saya berminat untuk berlakon dalam produksi mereka? Kalau ada rezeki saya di sini, apa salahnya mencuba,” kata Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH 3.0 ini.

Menerusi filem arahan Guntur Soeharjanto terbabit, Fazura memegang watak sebagai Brenda. Ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh Indonesia mulai 21 Disember ini.

Selain Fazura, filem bercorak drama berkenaan turut menampilkan Fedi Nuril, Tatjana Saphira, Chelsea Islan, Dewi Sandra, Pandji Pragiwaksono dan Arie Untung. -BH ONLINE

Comments

comments