Spurs Akhiri Peringkat Kumpulan Dengan Cemerlang

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, memuji pemain yang terpinggir selepas mereka memastikan kempen Kumpulan H Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi berakhir dengan memberangsangkan.

Pochettino membuat lapan pertukaran terhadap kesebelasan yang seri 1-1 dengan Watford dalam aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu lalu, namun wajah baru pasukannya itu mencatat kemenangan 3-0 ke atas APOEL di Wembley.

Fernando Llorente dan Georges-Kevin N’Koudou masing-masing menjaringkan gol pertama mereka untuk kelab itu manakala Son Heung-min meneruskan rentak hebatnya.

Kemenangan itu bermakna Tottenham yang mengumpul 16 mata akan menerajui Kumpulan H di hadapan juara bertahan, Real Madrid — pungutan mata yang lebih banyak daripada pasukan lain dalam UCL musim ini.

“Untuk mengakhiri dengan cara yang baik adalah hebat buat kami,” kata Pochettino kepada BT Sport. “Beberapa pemain yang tidak bermain setiap minggu berkemungkinan untuk diturunkan dan saya sangat gembira dengan prestasi mereka.

“Untuk mengumpul 16 mata adalah pencapaian hebat dalam kumpulan yang sukar.”

Danny Rose, yang kerap memanaskan bangku simpanan digantikan pada babak kedua dan kelihatan kecewa dengan keputusan itu.

Bagaimanapun, Pochettino, menjelaskan ia sebagai langkah berjaga-jaga selepas bek kiri itu mengalami luka di muka.

“Pemain tidak pernah gembira apabila mereka dikeluarkan,” katanya. “Dia mengalami luka besar dan doktor mengatakan dia memerlukan jahitan dan mustahil untuk meneruskan aksi.

“Sudah tentu, dia kecewa kerana ia adalah aksi UCL tetapi tidak ada yang salah.”

– STADIUMASTRO.COM

Comments

comments