Transformasi Strategik Jadikan Ekonomi Malaysia Lebih Kukuh – Najib

Transformasi strategik yang dilaksanakan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mengukuhkan ekonomi negara malah jauh lebih baik berbanding zaman kegawatan ekonomi 1997/1998, yang memungkinkan Malaysia menjadi negara gagal atau bankrap.

Berkongsi fakta kejayaan negara ketika menyampaikan ucapan dasar dan merasmikan Perhimpunan Agung UMNO 2017 hari ini, Presiden UMNO itu memberitahu bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku ketiga tahun ini berada pada kadar 6.2 peratus iaitu antara yang tertinggi di dunia.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kedudukan ekonomi negara sekarang adalah jauh lebih baik daripada KDNK negara pada 1998 yang menguncup 7.4 peratus.

“Rizab antarabangsa terkini pula adalah sebanyak RM429 bilion berbanding ketika kegawatan ekonomi Asia 1997/1998 di mana rizab negara hanyalah RM59.1 bilion,” kata beliau.

Najib berkata Laporan Daya Saing Global (GCR) 2017-2018 yang dikeluarkan oleh Forum Ekonomi Dunia menunjukkan bahawa Malaysia adalah negara ke-23 paling berdaya saing di dunia, sekali gus meletakkan negara sebagai ekonomi terbaik di rantau ini.

“Kejayaan-kejayaan yang ditempa oleh negara kita bukanlah cakap-cakap kosong, sebaliknya, fakta-fakta pencapaiannya telah diiktiraf oleh badan-badan penarafan, bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi di persada antarabangsa,” kata beliau.

Beliau berkata antara pencapaian lain yang membanggakan termasuklah pembangunan Projek Transit Aliran Massa (MRT) yang bertaraf dunia, Keretapi Berkelajuan Tinggi, Rangkaian Rel Pantai Timur dan Lebuhraya Pan Borneo.

Mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Najib berkata ia terbukti menjadi penyelamat ekonomi negara kerana kutipan GST sebanyak RM41 bilion membolehkan kerajaan menampung perbelanjaan yang diperlukan rakyat.

Menyelar sikap pembangkang yang sehingga hari ini masih tidak sepakat tentang GST, Najib berkata : ‘Satu-satunya yang konsisten tentang pembangkang adalah mereka terus menerus tidak konsisten.’

Najib berkata pembangunan seperti Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ), Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia dan Menara Warisan Merdeka-PNB bakal mewujudkan rantaian ekonomi dan peluang pekerjaan.

“Umpamanya pembangunan Menara Warisan Merdeka-PNB setinggi 118 tingkat itu bakal mencipta rantaian ekonomi berjumlah RM11 bilion dan mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan baharu,” kata beliau.

Beliau berkata pembangunan Tun Razak Exchange dijangka menjana RM40 bilion untuk ekonomi dan membuka 40 ,000 peluang pekerjaan manakala pembangunan Bandar Malaysia dijangka menjana sekitar RM170 bilion dengan mewujudkan lebih 200,000 peluang pekerjaan dan bakal menjadi bandar pintar termoden di rantau ini.

Najib berkata kerajaan setakat ini sudah mewujudkan 2.26 juta pekerjaan dengan sasaran 3.3 juta peluang pekerjaan baharu menjelang 2020. – BERNAMA

 

Comments

comments