PlaTCOM Ventures, platform pengkomersialan teknologi Malaysia melakar kejayaan dengan melesenkan 190 harta intelek menerusi pemindahan hak paten teknologi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata sebanyak 147 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut diserap ke Program Berimpak Tinggi (HIP2).
“Setakat ini, 40 inovasi berjaya menembusi pasaran tempatan dan luar negara untuk dikomersialkan hasil penyaluran pembiayaan RM18 juta.
“Kejayaan ini menyaksikan syarikat berkenaan menjana hasil jualan RM33 juta, sekali gus mencatat pulangan pelaburan (ROI) melalui HIP2 sebanyak 83 peratus,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Hasbi Habibollah (BN-Limbang) ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini, mengenai impak AIM terhadap komuniti usahawan dan syarikat PKS tempatan.
PlaTCOM Ventures ialah anak syarikat milik penuh Agensi Inovasi Malaysia (AIM), yang ditubuhkan dengan kerjasama SME Corporation Malaysia menerusi satu daripada enam HIP dalam Pelan Induk PKS 2012-2020.
Nancy berkata, penubuhan Yayasan Steinbeis Malaysia menerusi AIM turut memainkan peranan penting dalam menghubungkan ahli akademik dengan penggiat industri demi menggalakkan pemindahan pengetahuan serta teknologi.
“Sebanyak 393 projek diusahakan melalui Yayasan Steinbeis Malaysia dan 500 peluang pekerjaan baharu diwujudkan setakat ini, sekali gus menyaksikan lonjakan produktiviti syarikat pembuatan antara 20 hingga 70 peratus,” katanya. – BH Online