Rory McIlroy menamatkan kemarau kejuaraan selama 18 bulan dalam Jelajah PGA AS dengan penuh sensasi awal pagi tadi dengan lima birdie dalam enam lubang terakhir untuk memenangi kejohanan Jemputan Arnold Palmer.
McIlroy, juara empat kejuaraan utama, mengatasi pemain Amerika Syarikat, Bryson DeChambeau dan pemenang kejuaraan utama Tiger Woods, Justin Rose dan Henrik Stenson dengan permainan putting mengagumkan di green Bay Hill.
“Terlalu bagus melihat setiap perkara menjadi akhirnya,” kata McIlroy.
“Saya tidak terlalu jauh. Memerlukan sesuatu untuk berada dalam kedudukan memburu kejuaraan. Sesuatu yang jelas menjadi dengan pukulan putt saya sebenarnya.”
McIlroy mencatat lapan bawah par 64 untuk mengakhiri 72 lubang dengan 18 bawah par 270 sekali gus mengalahkan DeChambeau dengan tiga pukulan.
“Saya hanya berbangga dengan diri sendiri untuk berjuang di luar sana selepas apa yang berlaku beberapa bulan lalu dengan masalah kecederaan dan perkara lain,” kata McIlroy.
“Untuk meraih kejuaraan PGA pertama saya dalam tempoh yang saya sendiri sudah lupa, ia berasa terlalu hebat.”
Pemain berusia 28 tahun dari Ireland Utara itu merangkul kejuaraan Jelajah PGA AS ke-14, yang pertama sejak Kejuaraan Jelajah 2016 dan memberi petanda dia menjadi ancaman utama untuk melengkapkan karier Grand Slam dengan memenangi Masters AS yang berlangsung tiga minggu lagi.
McIlroy tidak menang sejak hari Palmer meninggal dunia pada 2016 namun tampil penuh bergaya di lapangan yang mana Palmer sering kali menyambut pemenang ketika mereka keluar dari green lubang ke-18.
“Memang agak bagus saya datang ke sini dan menang,” ujar McIlroy.
“Beliau (Palmer) menjadi contoh hebat kepada kami. Jika kami boleh mengawal diri seperti Arnie lakukan dunia pasti menjadi tempat yang lebih bagus.
“Saya berharap dapat berjabat tangan dengannya tapi saya bangga dapat meletakkan nama di trofi itu.”
DeChambeau merakam 68 untuk meraih tangga kedua dengan 273, satu pukulan di depan Rose dari England, yang melakar 67 dan dua di depan pemain Sweden, Stenson manakala Woods dan rakan senegaranya Ryan Moore di tangga kelima dengan 278. – AFP