25 °c
Kuala Lumpur
Friday, August 17, 2018

Hidup Saya Sudah Lengkap – Abam

Ketibaan Ramadan dan Syawal tahun ini memberi seribu erti buat pelawak terkenal, Abam memandangkan dia menyambutnya bersama-sama isteri tercinta, Siti Norhidayah Mohd Ali buat kali pertama.

Jika sebelum ini Abam atau Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 30, perlu menyediakan sendiri juadah untuk berbuka dan bersahur, kini situasi tersebut tidak berlaku lagi.

Bagi pelakon filem Hantu Bungkus Ikat Tepi ini, dengan adanya isteri di sisi tatkala menyambut Ramadan dan meraikan Syawal yang bakal tiba, dia dapat rasakan hidupnya kini lebih lengkap.

“Puasa dan raya tahun ini begitu berbeza buat saya. Perkara yang paling istimewa ialah apabila juadah berbuka dan bersahur dimasak oleh isteri.

“Selalunya saya sediakan sendiri hidangan berbuka puasa. Walaupun saya ada emak, namun saya tidak mahu menyusahkannya. Jadi saya lebih selesa melakukannya sendiri.

“Kini saya ada isteri yang membantu dan dia sentiasa bertanya juadah yang ingin saya nikmati. Saya rasa lengkaplah hidup saya sekarang kerana dikurniakan seorang isteri yang ringan tulang,” kongsi Abam.

Abam dan Norhidayah berkahwin pada 8 Disember lalu di Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Sabak Bernam, Kuala Selangor.

Bercerita tentang sambutan Aidilfitri yang bakal menjengah, pelawak daripada kumpulan Bocey ini menjelaskan, dia memilih untuk membuat persiapan secara sederhana.

Bagaimanapun, Abam tidak mahu melepaskan peluang untuk meraikan peminat yang selama ini setia menyokong kerjayanya.

Ujarnya, jika tiada halangan, majlis rumah terbuka untuk peminat bakal diadakan.

“Persiapan menyambut hari raya saya dan isteri dibuat secara sederhana. Untuk tahun ini, saya berhasrat untuk membeli baju siap dipakai. Sebelum ini, baju raya saya ditempah khas.

“Sambutan raya pula, kalau ada rezeki saya akan mengadakan majlis rumah terbuka untuk peminat. Saya ingin menjemput semua peminat menghadirinya.

“Tarikh dan lokasi majlis akan saya umumkan menerusi akaun Instagram saya nanti,” ujarnya yang bakal beraya di kampung halaman keluarganya di Gombak dan pulang ke rumah mentua di Sabak Bernam pada hari raya kedua.

Ubah diri demi karier dan masa depan

Mengulas mengenai hasratnya untuk membeli baju raya siap dipakai, Abam mengakui, perkara itu berikutan penurunan berat badannya.

Menurut Abam, dia merancang untuk menurunkan berat badannya sehingga 100 kilogram (kg) kerana ingin melakukan perubahan kepada diri dan karier seninya pada tahun hadapan.

“Sebelum ini berat badan saya mencecah 188 kg. Selepas menjalani pelan diet dan senaman awal tahun ini, saya berjaya susut lebih 20 kg dan sekarang berat saya ialah 167 kg.

“Selepas ini, saya sasarkan untuk ‘membuang’ 67 kg lagi supaya dapat mencecah 100 kg sahaja.

“Saya lakukan semua ini atas kesedaran dan kehendak diri sendiri. Saya mahu membuat perubahan terutamanya berkaitan karier seni. Kalau diizinkan, saya ingin cuba berlakon dalam cerita aksi pula pada tahun depan,” kata Abam.

Dalam pada itu, Abam menyatakan bahawa cabaran dalam usaha mengurangkan berat badan adalah untuk mengawal nafsu makan.

“Untuk mengawal jumlah makanan yang diambil itu tidak susah tetapi mahu mengawal nafsu yang susah.

“Saya bernasib baik kerana isteri dan pembantu peribadi yang membantu memantau dan mengawal cara pemakanan saya mengikut jumlah yang ditetapkan oleh jurulatih saya,” katanya. — UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.