25 °c
Kuala Lumpur
Tuesday, November 13, 2018

Rais Belum Terima ‘Isyarat’ Sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat

Sebarang keputusan me­ngenai siapa bakal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu bergantung kepada usul yang akan dikemukakan di Sidang Dewan Rakyat pada 16 Julai ini.

Presiden Universiti Islam An­tarabangsa Malaysia (UIAM), Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang ‘isyarat’ tentang pencalonannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

“Sebenarnya saya secara formalnya tidak menerima apa-apa isyarat.

“Saya fikir ini salah satu reaksi masyarakat dan juga badan-badan bukan kerajaan yang mengemukakan pandangan tersebut.

“Namun semuanya bergantung kepada usul yang mungkin dibawa oleh pihak berkuasa pada 16 hari bulan ini, hanya selepas ­itulah agaknya boleh ada penyusulan,” katanya seperti dipetik Astro Awani hari ini.

Rais yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang undang-undang sebelum ini dikatakan calon pilihan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Nama lain yang turut disebut-sebut ialah bekas Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga sebelum beliau menolak spekulasi itu, selain bekas Speaker Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh yang dikatakan calon pilihan partinya DAP.

Persidangan mesyuarat pertama penggal pertama, majlis Parlimen Ke-14 dijadualkan berlangsung selama 20 hari, mulai 16 Julai ini dengan urusan pertama mesyuarat pada hari berkenaan adalah pelantikan Yang Dipertua Dewan Rak­yat, diikuti majlis angkat sumpah anggota Dewan Rakyat dan pelantikan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Istiadat pembukaan persida­ngan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada keesokan harinya iaitu 17 Julai pada pukul 10 pagi.

Mengulas lanjut, Rais berkata, buat masa ini perkara tersebut tidak wajar dibangkitkan kerana pencalonan bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat boleh dibuat oleh pelbagai pihak baik daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang. — Utusan Online

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.