28 °c
Kuala Lumpur
Thursday, December 13, 2018

PARLIMEN : Era Baharu Dewan Rakyat

SIDANG Dewan Rakyat yang bermula semalam dianggap era baharu kepada politik negara.

Tun Dr.Mahathir Mohamad kembali ke Parlimen selepas 15 tahun bukan sahaja sebagai Perdana Menteri tetapi juga mengetuai parti politik baharu iaitu Pakatan Harapan manakala Barisan Nasional (BN) selepas 61 tahun, berada di blok pembangkang.

Bagaimanapun mesyuarat per­ta­ma itu mewujudkan kesangsian sejauh manakah ia akan ber­langsung secara adil.

Ia berikutan tindakan Setiausaha Dewan tidak melayan bantahan ahli Parlimen BN dan Pas yang mempersoalkan kesahihan tempoh notis 14 hari bagi pelantikan Datuk Mohamad Ariff Md.Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu. Wakil rakyat pembangkang yang diketuai Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) membangkitkan mengenai ‘salah laku’ kerajaan dalam pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan itu.

Malangnya wakil rakyat pembangkang termasuk daripada Pas tidak diberi peluang untuk menjelaskan dengan teliti sebab-sebab penolakan Mohamad Ariff sehingga mereka bertindak keluar dari Dewan Rakyat semasa proses mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat mahu berlangsung.

Ahmad Zahid menegaskan bahawa bukan soal individu yang dipilih sehingga membangkitkan protes dalam kalangan wakil rakyat pembangkang, tetapi pe­langgaran prosedur dan peraturan pelantikan yang menjadi isu.

“Biarpun Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan Ketua Maj­lis iaitu Perdana Menteri telah menghantar surat kepada beliau pada 2 Julai (lalu) tetapi kami ada bukti mencukupi bahawa pelantikan itu melebihi tempoh 14 hari seperti ditetapkan dalam peraturan mesyuarat,” kata beliau dalam sidang akhbar di lobi Parlimen.

Menjelaskan perkara itu de­ngan terperinci, Ketua Whip Pas, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, kerajaan Pakatan Harapan telah melanggar Peruntukan 4(1) berhubung prosedur pemilihan Yang Dipertua.

Menurutnya, walaupun ahli Parlimen tidak boleh bercakap sebelum mengangkat sumpah jawatan, tetapi point of order adalah berkaitan pemilihan Yang Dipertua dan perlu dibenarkan untuk diutarakan sebelum pemilihan dibuat.

Takiyuddin menghuraikan tiga elemen pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat berdasarkan Peruntukan 4(1).

“Pertamanya ialah individu yang dicalonkan mesti terima sekiranya dipilih. Keduanya, pihak yang mencadangkan perlu memberi notis bertulis dan ketiganya, notis tersebut perlu di­serahkan sekurang-kurangnya 14 hari sebelum hari persidangan iaitu hari ini, bermakna paling awal ialah pada atau sebelum 2 Julai,” jelas beliau.

Takiyuddin dalam pada itu menegaskan, pihak pembangkang mempunyai tujuh fakta ataupun bukti melalui laporan media bahawa pencalonan dan pelantikan Mohamad Ariff tidak dibuat pada atau sebelum 2 Julai yang jelas melanggar Peruntukan 4(1).

“Peruntukan ini berbentuk mandatori, iaitu wajib sekurang-kurangnya 14 hari. Sekiranya tidak patuh, tidak sah daripada sudut undang-undang.

“Aturan mesyuarat dibuat berdasarkan terbitan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 62. Jadi apa yang berlaku ini bercanggah de­ngan Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.

Ketua Whip Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Azalina Othman Said pula menyifatkan Mohamad Ariff sebagai seorang individu dihormati dan menjadi satu yang tidak wajar memulakan tugas dengan ‘kesilapan’ dilakukan Pakatan Harapan hari ini.

Kata Azalina, apa yang berlaku memberi gambaran negatif kepada Mohamad Ariff sendiri seolah-olah seorang bekas hakim tidak tahu membaca peraturan.

“Sewaktu BN menjadi kerajaan, prosedur serupa juga diikuti, kami memasukkan nama awal tetapi apa dilakukan Pakatan Harapan ini memasukkan nama pada minit akhir. Kita tidak bantah calon, kalau bantah kita telah kemukakan nama lain,” kata beliau. — UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.