27 °c
Kuala Lumpur
Wednesday, December 19, 2018

Mahdzir Khalid Akan Lepaskan Jawatan

Datuk Seri Mahdzir Khalid berhasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dalam waktu terdekat.

Naib Presiden UMNO itu yang mengambil alih jawatan tersebut daripada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman pada 14 Julai lalu mengakui adalah lebih sesuai tugas dan tanggungjawab itu digalas oleh anak negeri sendiri yang lebih memahami keadaan setempat.

“Saya tidak berhasrat jadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri untuk tempoh yang lama. Saya cadang (serahkan jawatan) dalam masa terdekat ini, kita boleh serah kepada mereka yang lebih layak dan sesuai untuk teruskan perjuangan parti,” katanya tanpa memberikan sebarang bayangan siapa bakal pengganti.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Ibu Pejabat UMNO negeri di sini hari ini.

Mesyuarat itu merupakan julung kali diadakan sejak beliau diberi tanggungjawab menerajui UMNO Terengganu setelah Barisan Nasional tewas selaras dengan perubahan kepemimpinan UMNO yang diumumkan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat yang berlangsung kira-kira lebih dua jam bermula pukul 3 petang ini dihadiri kesemua lapan Ketua UMNO Bahagian termasuk Datuk Din Adam (Ketua UMNO Dungun) yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri selain bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Ditanya bila penyerahan tugas itu dijangka dilakukan, Mahdzir bagaimanapun tidak menjelaskan perkara itu namun menambah, “ tunggulah tiba masa yang sesuai nanti”.

Menyentuh sama ada cadangannya untuk menyerahkan jawatan atas desakan mana-mana pihak, beliau berkata, tiada masalah yang berlaku dalam badan perhubungan UMNO negeri sebagaimana didakwa.

“Tidak ada masalah (desakan), semua ini atas dasar perasaan (semangat) sesama kita dalam UMNO yang kita tanam dalam perhubungan, saya rasa lebih sesuai kepemimpinan datang daripada anak negeri ini (Terengganu) sendiri.

“Mereka lebih faham untuk uruskan masa depan parti di negeri ini dan bagaimana untuk berdepan dengan pilihan raya (akan datang). Adalah lebih baik kita ada perancangan awal,” jelasnya.

Pelantikan Mahdzir sebelum ini telah menimbulkan sungutan kalangan ahli parti di negeri ini dengan tanggapan seolah-olah tiada pemimpin tempatan yang boleh diberikan kepercayaan.

Terdapat desas-desus bahawa Ahmad Said akan mengambil alih jawatan itu yang pernah disandang sebelum diserahkan kepada Ahmad Razif namun Ketua UMNO Bahagian Kemaman itu enggan memberi sebarang ulasan.-UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.