28 °c
Kuala Lumpur
Thursday, September 20, 2018

ANALISIS : Yang di-Pertuan Agong Tonggak Negara

oleh Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

 

MALAYSIA adalah sebuah negara yang unik kerana mempunyai sistem giliran dalam kalangan raja-raja Melayu yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong. Pemilihan lima tahun sekali ini merupakan sejarah yang akan diingati setiap rakyat Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong adalah tonggak negara. Keunikan institusi Yang di-Pertuan Agong di Malaysia sangat menarik kerana Seri Paduka satu-satunya monarki yang digilirkan dalam kalangan raja-raja Melayu.

Tiada negara lain mengamalkan sistem giliran seperti dilakukan Malaysia.

  • Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan meletakkan kuasa eksekutif Persekutuan pada tangan Yang di-Pertuan Agong dan kuasa tersebut boleh dijalankan oleh jemaah menteri.
  • Walaupun Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat ia tidak bermakna Seri Paduka pada hari ini perlu mematuhi secara total nasihat jemaah menteri.
  • Kuasa dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan cuma pentafsiran peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang mungkin masih dibelenggu dengan tafsiran silam.

DIMENSI TAFSIRAN

Sebagaimana diketahui umum bagi mentafsirkan sesuatu perkataan dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat beberapa kaedah-kaedah yang perlu diikuti.

Antaranya jika perkataan tersebut jelas, maka makna yang jelas tersebut tidak perlu ditafsirkan lagi. Makna literalnya perlu diberikan, bukan makna yang dihasratkan oleh penggubal undang-undang.

Pada pandangan saya nasihat adalah nasihat, nasihat tidak perlu diikuti sepenuhnya kerana perkataan nasihat itu sangat jelas dan mempunyai maknanya sendiri.

Sudah sampai masanya tafsiran perlembagaan tidak boleh lagi dipenjara dengan tafsiran berdasarkan sejarah kerana makna perkataan nasihat itu sangat jelas.

Kalau dahulu British mentafsirkan nasihat Residen British kepada raja-raja Melayu bersifat wajib dipatuhi, tafsiran sebegitu hendaklah tidak lagi digunakan sebaliknya memartabatkan makna sebenar nasihat itu sendiri yang tidak bersifat mengikat.

British mengongkong raja-raja Melayu melalui residen mereka kerana British mahu mengawal Tanah Melayu mengikut telunjuk mereka. Ini juga dilakukan bagi menjaga kepentingan British di Tanah Melayu.

Pada hari ini, hal yang sama tidak lagi berlaku yang mana Kerajaan yang dilantik adalah pilihan rakyat dan terdiri daripada anak-anak watan.

WUJUD KESEDARAN

Ramai yang sudah mula sedar sistem kenegaraan di Tanah Melayu dan kemudiannya Malaysia bukan hanya berpaksikan kepada tiga elemen sahaja iaitu eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Sebaliknya ketiga-tiga elemen tersebut dipayungi Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu, Seri Paduka perlu diberi kebebasan menilai nasihat jemaah menteri.

Kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong melaksanakan tanggungjawab berperlembagaan sudah tidak boleh dinafikan lagi kerana kita lihat ketika ini raja-raja Melayu sudah mempunyai pendidikan tinggi.

Malah Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan mengangkat Yang di-Pertuan Agong sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan.

Oleh hal demikian segala ketumbukan tentera Persekutuan tunduk bawah telunjuk Yang di-Pertuan Agong.

Ini bermakna Yang di-Pertuan Agong juga berfungsi menjaga keamanan dan mempertahan kedaulatan negara.

Seri Paduka pada bila-bila masa boleh mengerah angkatan tentera bersiap siaga atau melakukan sesuatu bagi mempertahan negara dari aspek ketenteraan.

BUKAN SEKADAR SIMBOLIK

Tanggungjawab ini bukanlah hanya suatu simbolik atau dekorasi semata-mata tetapi memberi kuasa utuh kepada Yang di-Pertuan Agong dalam melaksanakan tanggungjawab berperlembagaan Seri Paduka sebagai pemegang kuasa eksekutif sebenar dalam Persekutuan.

  • Yang di-Pertuan Agong tidak keseorangan dalam melaksanakan tanggungjawab berperlembagaan, Seri Paduka dibantu oleh Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada sembilan raja-raja Melayu keseluruhannya.
  • Perkara 38(3) Perlembagaan Persekutuan umpamanya memberi keabsahan kepada Majlis Raja-Raja untuk menimbang dan memberi penelitian berkenaan dasar-dasar negara. Penimbangan dan penelitian dasar negara tidak akan menjadi sah tanpa kehadiran Yang di-Pertuan Agong.
  • Perkara 38(3) tersebut memperuntuk apabila Majlis Raja-Raja menimbang teliti mengenai suatu dasar negara, Yang di-Pertuan Agong hendaklah disertai Perdana Menteri, raja-raja yang lain serta Yang-Yang Dipertua negeri disertai menteri-menteri Besar atau ketua-ketua Menteri mereka; dan penimbangan dan penelitian itu adalah antara fungsi yang dijalankan oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut nasihat jemaah menteri dan oleh raja-raja yang lain serta Yang-Yang Dipertua negeri itu mengikut nasihat-nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan mereka.
  • Oleh itu dapatlah dilihat di sini mengenai dasar negara iaitu suatu keputusan yang mengambil kira pandangan semua pihak hendaklah digarap melibatkan eksekutif pada peringkat Persekutuan dan Negeri-Negeri.
  • Dalam keadaan pelbagai pihak menghadiri persidangan tersebut sudah pasti kelak bakal berlaku perbezaan pandangan antara mereka. Hal yang demikian sangat memerlukan suatu kuasa diberikan sebagai undi pemutus sekiranya konsensus tidak dapat dicapai.
  • Jika Yang di-Pertuan Agong, raja-raja Melayu dan Yang Dipertua negeri terpaksa terikat dengan nasihat daripada Perdana Menteri, menteri besar atau ketua menteri, maka akan timbul polemik di mana keputusan tidak dapat dicapai dalam menentukan sesuatu dasar negara.

Rakyat bernaung di bawah lembayung raja-raja Melayu. Institusi Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong masih relevan dan perlu dipertahan. — UTUSAN ONLINE

 

  • Penulis adalah Presiden Peguam Muslim Malaysia

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.