28 °c
Kuala Lumpur
Monday, November 19, 2018

RM4.14 Berbanding AS$1

Ringgit ditutup pada paras RM4.1420 setelah memulakan sesi dagangan yang rendah apabila mencecah RM4.15 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) selepas pasaran dibuka berikutan dua hari cuti umum.

Kali terakhir ringgit ditutup Jumaat lalu, ia berada pada RM4.1430 setelah mencecah paras tertinggi pada RM4.1460 ­mi­ng­gu lalu, terendah dalam tempoh lebih sembilan bulan.

Sentimen negatif ini turut memberi kesan kepada mata wang di rantau Asia seperti rupee, rupiah dan peso. Ringgit sahaja menyusut lebih tujuh peratus sejak April 2018.

Minggu lalu, mata wang rupiah menyusut ke paras terendah sejak krisis kewangan Asia manakala rupee pula jatuh sehingga 12 peratus berbanding dolar AS tahun ini. Setakat tahun ini, menurut Bloomberg, ringgit menyusut 2.3 peratus berbanding negara serantau yang lain dengan me­nyaksikan peso menyusut 6.8 peratus manakala rupiah me­nyusut lebih sembilan peratus.

Ini menjadikan rizab Indonesia susut kepada AS$117.9 bilion (RM489.11 bilion) pada Ogos, iaitu terendah sejak Januari 2017 dan cukup untuk membiayai 6.6 bulan import dan hutang luar negeri kerajaan.

Namun, dalam keadaan mata wang yang lemah, ri­zab Malaysia dan Korea Selatan masih lagi terurus dan berupaya meningkatkan rizab masing-masing. Setakat 30 Ogos 2018, rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah AS$104.4 bi­lion (RM433.10 bilion) meningkat sedikit daripada AS$104.2 bi­llon (RM432.27 bilion) pada 15 Ogos 2018.

Ketua Strategi Asia Skandinaviska Enskilda Banken AB di Singapura, Eugenia Victorino berkata, ketidaktentuan dilihat masih kekal tinggi, namun rizab menjadi amat penting dalam menilai penampan ekonomi.

“Ini amat pen­ting terutama kepada India, Indonesia dan Fi­lipina, iaitu negara-negara yang berdepan defisit akaun semasa dan dianggap lebih terdedah kepada sentimen negatif dalam pasaran baharu muncul,” kata­nya kepada Bloomberg.

Dalam pada itu, Ketua Pasaran Strategik FXTM, Hussein Sayed berkata, saham-saham Asia akan memulakan dagangan minggu ini dengan negatif manakala dolar AS akan diniagakan lebih tinggi memandangkan para pelabur akan terus memantau ketega­ngan perang dagangan antara AS dan China.

Katanya, dolar AS menjadi destinasi kepada aliran yang selamat di sebalik perang dagangan tetapi dalam masa sama, data pada minggu ini kemungkinan akan menunjukkan prestasi yang lebih kukuh bagi inflasi pengguna dan jualan runcit.

“Ini kemungkinan akan me­ningkatkan jangkaan berlakunya lebih daripada dua kali kenaikan tahun ini yang membawa kepada perbezaan seterusnya dalam dasar monetari.

“Pelabur juga pada minggu ini akan memberi fokus kepada keputusan dasar monetari terutama bank pusat di pasaran ekonomi baharu muncul bagi meng­akhiri kegawatan mata wang masing-masing,” katanya.

Malaysia adalah antara negara terawal di Asia yang menaikkan kadar faedah kepada 3.25 peratus pada Januari lalu.

Bagaimanapun, sebahagian be­­sar penganalisis masih menanti lang­kah-langkah yang akan diambil Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam mengurangkan hutang negara yang melebihi RM1 trilion dan pendekatan kerajaan untuk mengawal bajet defisit pada pembentangan Bajet 2019 di Parlimen, 2 November ini.

Laporan Bloomberg minggu lalu menunjukkan dengan me­nukar regim cukai mulai 1 September lalu akan memberi hasil sebanyak RM21 bilion kepada kerajaan, separuh daripada kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Ini memerlukan kerajaan bergantung kepada sumber pendapatan yang lain misalnya dividen lebih tinggi daripada syarikat milik kerajaan bagi menangani kekurangan tersebut.

Dalam pada itu, Affin Hwang Capital berkata, ringgit dijangka berlegar dan boleh mencecah RM3.80 berbanding dolar AS dan ia seharusnya dapat meningkatkan tahap keyakinan pengguna dan perniagaan serta menggalakkan perbelanjaan.

Katanya, sejajar dengan unjuran kerajaan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang pada lima peratus tahun ini disokong oleh harga minyak yang lebih tinggi, penggunaan swasta dan pelaburan modal sektor swasta.

“Kami yakin dengan prospek separuh kedua tahun ini selepas keyakinan semakin meningkat berikutan kemenangan Pakatan Harapan yang merangsang akti­viti perniagaan seperti pelaburan langsung asing, pengembangan kapasiti pengeluaran, urus niaga hartanah dan perbelanjaan pengguna,” katanya. — UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.