26 °c
Kuala Lumpur
Wednesday, November 21, 2018

Keadaan Saleem Makin Kritikal

Sebagai rakan seperjuangan, pe­nyanyi ternama, Datuk Nas­sier Wahab mengakui, beliau amat sedih dengan keadaan sahabatnya yang juga vokalis Iklim, Saleem yang kini berada dalam keadaan kritikal selepas terbabit kemalangan jalan raya.

Dalam kunjungan singkat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Cheras hari ini, Nas­sier memberitahu, berdasarkan apa yang dilihat, keadaan Sa­leem agak kritikal.

“Saleem berada dalam ke­adaan koma. Doktor memberitahu, kondisinya tidak stabil dan kritikal. Justeru, saya memohon doa daripada rakyat Malaysia agar kesihatan Saleem kembali sedar dan sembuh seperti sedia kala,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Pada 21 September lalu, motosikal yang ditunggang Saleem atau nama sebenarnya, A. M Saleem Abd. Majeed, 57, bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 16, Lebuh Raya Grand Saga.

Dalam kejadian yang berlaku pada pukul 3.20 petang itu, motosikal yang ditunggang Saleem disyaki tidak menggunakan susur masuk ke lorong motosikal di Plaza Tol Batu 11 menyebabkan penyanyi popular itu ter­langgar bahagian sisi kiri sebuah kereta yang ketika itu membelok ke kiri untuk masuk ke susur pejabat Grand Saga.

Akibat perlanggaran tersebut, Saleem mengalami kece­deraan di bahagian tulang rusuk.

Menurut Nassier, doktor yang merawat sahabatnya itu juga membuat keputusan untuk membiarkan Saleem dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana kecederaan di paru-parunya menyukarkan penyanyi itu bernafas dengan sempurna.

“Buat masa sekarang, Saleem memerlukan sokongan mesin bantuan pernafasan. Saya difahamkan, sebaik sahaja luka di paru-parunya beransur pulih, barulah Saleem boleh bernafas secara normal,” ujar Nassier.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk menghubungi isteri Saleem tidak berjaya apabila panggilan telefon tidak berjawab. — UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.