25 °c
Kuala Lumpur
Wednesday, November 21, 2018

Jual Karya, Bakat

Berkongsi cerita dengan pelakon yang 11 tahun aktif dalam industri ini bagaikan tiada istilah bosan saat mendepani kerjayanya apatah lagi bercerita mengenai asam garam kehidupan sebagai anak seni.

Menurut Wan Sharmila yang mesra disapa Lala, perjalanan karier seninya penuh warna biarpun hanya diberi peluang mendukung watak pembantu sahaja. Baginya, tiada yang perlu digusarkan sekiranya situasi tersebut dipandang secara positif.

Selagi dia tidak jemu untuk memberikan yang terbaik dalam setiap karya lakonan yang ditawarkan kepadanya, soal kedudukan watak bukan sesuatu yang perlu dijadikan isu besar.

“Situasi itu langsung tidak memberi tekanan atau rasa kecewa kepada saya. Ini kerana saya lebih selesa memandang dari sudut positif. Lagipun, bagi saya, bukan mudah sebenarnya untuk memegang watak utama.

“Andai kata saya diberikan watak utama tetapi tidak menarik minat penonton untuk menonton cerita tersebut, tiada gunanya juga. Maksudnya masih ada kriteria yang mungkin belum cukup untuk Wan Sharmila menyandang watak utama.

“Apabila semakin kerap mendapat watak pembantu, saya rasa tiada masalah dengannya kerana yang lebih penting ialah bagaimana saya memikul tanggungjawab yang diamanahkan itu. Di sini, saya perlu tunjukkan bahawa pembantu juga penting dalam menjayakan sesebuah cerita.

“Pastinya kalau saya buat ala, bukan sahaja menjejaskan periuk nasi saya malah keseluruhan cerita itu,” jelasnya yang kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 20 episod berjudul Senafas Rindu.

Doa peminat

Tampil dengan watak wanita bertudung menerusi drama Bahagia Bukan Bidaan yang sedang ditayangkan di TV3, Wan Sharmila memberitahu menerima banyak doa daripada peminat yang ingin melihat dia kekal dengan imej begitu.

Yang lebih menggembirakan hatinya, biarpun dia memuat naik gambar tidak bertudung, pengikut laman Instagram sama sekali tidak mengeji sebaliknya sentiasa memberikan doa yang baik.

“Gara-gara watak Uni dalam Bahagia Bukan Bidaan, ramai peminat dan pengikut Instagram saya yang memberikan mesej peribadi agar saya memakai tudung. Apabila saya masukkan gambar tidak bertudung, mereka pasti menyuruh saya memakai tudung.

“Saya anggap komen-komen mereka sebagai satu doa. Saya ingin berterima kasih atas doa tersebut. Siapa tahu doa dan kata-kata mereka akan menjadi kenyataan dalam masa yang cepat,” katanya.

Zero kontroversi

Menaip namanya dalam enjin carian Internet, tiada satu pun cerita panas yang menemani perjalanan karier seni Wan Sharmila. Hanya sedikit kisah peribadi yang ditinggalkan tanpa sebarang jawapan.

Menjalani kehidupan sebagai selebriti tanpa kontroversi, pelakon yang memulakan kerjaya menerusi drama komedi Emil Emilda (2007) ini akui, itu adalah salah satu pendirian hidupnya.

Bagi Wan Sharmila, dia hanya ingin melakukan yang terbaik hanya melibatkan kerjaya. Justeru bukan kontroversi yang ingin dipersembahkan sebaliknya Wan Sharmila mahu menjual karya dan bakat lakonannya.

“Adakalanya sesetengah orang memberi cadangan supaya saya cipta apa sahaja yang mampu menimbulkan kontroversi. Tetapi sejujurnya diri saya sendiri tidak pandai melakukan semua itu.

“Saya rasa cara tersebut sangat hipokrit hanya semata-mata ingin mendapatkan perhatian orang. Saya bukan seperti itu walaupun saya sedar tanpa cerita panas melambatkan perjalanan seni saya.

“Namun saya dapat rasakan satu ketenangan apabila tidak menerima komen negatif daripada warganet,” luahnya.

Sentiasa bersyukur

Selain memandang sisi positif, Wan Sharmila akui, keterbukaannya menerima rezeki sebagai watak pembantu juga disebabkan oleh sikap sederhana yang diterapkan dalam jiwanya.

Ulas anak saudara kepada pelakon veteran Wan Maimunah ini, meskipun kariernya lebih sinonim dengan karakter pembantu namun yang boleh dibanggakan ialah namanya tetap subur dalam tanam seni lakon.

Tidak perlu disokong dengan kontroversi panas, sebaris namanya tetap menjadi pilihan pihak produksi bagi menjayakan setiap drama yang diterbitkan.

“Secara logiknya, untuk kekalkan nama dalam industri sangat susah. Oleh kerana itu saya sentiasa bersyukur dengan yang saya ada sekarang. Saya tidak mahu naik dengan terlalu cepat kerana mungkin akan jatuh dengan cara yang sama. Cepat dan menyakitkan.

“Saya selesa dengan cara saya, bersederhana. Selebihnya, saya nikmati setiap watak yang saya peroleh dan saya bersyukur diberi peluang dengan rakan-rakan pelakon yang terbaik serta cerita yang bagus,” ujarnya. — UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.