25 °c
Kuala Lumpur
Sunday, November 18, 2018

PAU2018: [MINDA] Contohi Kebangkitan Semula Parti Kongres India

Mulai 10 Mei lalu, PAP Si­ngapura telah mengambil alih kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di tempat ketiga ranking parti paling lama masih memerintah di dunia.

Dalam senarai tersebut, Workers Party Korea Utara di tempat pertama yang memerintah sejak 1948 diikuti Parti Komunis China, bermula 1949 sehingga kini dan kedua-duanya adalah negara sistem parti tunggal. Ini bermakna UMNO parti pa­ling lama memerintah di dunia demokrasi sehinggalah 9 Mei lalu.

Kongres walau bagaima­napun kehilangan kuasa lebih awal daripada UMNO – 30 tahun selepas menerajui pentadbiran pasca kemerdekaan India. Namun, parti itu kembali berkuasa pada Pilihan Raya Umum 1980, tiga tahun selepas kekalahan besar apabila gabungan parti peme­rintah berdepan kemelut sehingga memaksa pilihan raya mengejut diadakan bagi mengelakkan undi tidak percaya di Parlimen.

Kongres mungkin beruntung kerana gabungan parti pemerintah tidak sefahaman dan gagal menampilkan kepemimpinan wibawa. Malah sebelum itu, ada rundingan memancing pemimpin Kongres untuk berada di blok kerajaan sebelum ditolak saat akhir hingga akhirnya Parlimen India dibubarkan sebelum waktunya.

Selepas diberikan peluang kedua kemudiannya, Kongres berjaya mempertahankan kuasa untuk sembilan tahun berikutnya sebelum sekali lagi kalah.

Puncanya kerana terpalit skandal dan beberapa masalah lain yang membangkitkan kemarahan pe­ngundi. Itu penyakit parti berkuasa jika gagal mengawal godaan. Selepas itu, perjalanan Kongres seperti mana parti lain di seantero dunia, ada masa kalah dan ada masa menang.

Bagi pandangan ramai penganalisis, sekali pe­ralihan kuasa berlaku, maka segala kemungkinan telah dibuka kerana rakyat sudah melihat adanya alternatif. Menang atau kalah, bergantung pada isu dan keyakinan pengundi kepada barisan kepemimpinan.

Bagaimana pula nasib UMNO dan BN? Cerita di Malaysia ketika ini mungkin ada mirip-mirip di India ketika penggal pertama Kongres tewas, mungkin. Namun usahlah mengharapkan kerjasama lawan berantakan untuk kembali menjadi kerajaan. UMNO sebagai grand old party Malaysia ada sedikit kelebihan. Ramai masih sayang padanya walaupun marah.

Sebab itu, Perhimpunan Agung UMNO 2018 biar pun tidaklah seperti ketika berkuasa namun serinya tetap ada malah dengan tiadanya lalang, perbahasan jelas lebih bermakna untuk melihat UMNO bangkit – perkataan yang menjadi tema perhimpunan kali ini.

Cuma apa yang diperlukan daripada kepemimpinan adalah keupayaan untuk membawa gelombang kebangkitan sehingga dirasakan rakyat bahawa kuasa harus dikembalikan kepada UMNO dan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Itulah hala tujunya. — UTUSAN ONLINE

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.