25 °c
Kuala Lumpur
Sunday, November 18, 2018

ANALISIS : Government-In-Waiting Slogan Perjuangan

oleh Dr Mohd Fauzi Shafiee

 

PERHIMPUNAN Agung UMNO yang melabuhkan tirai pada 30 September lalu akan pasti diingati oleh ahli dan pemimpin parti terutama­nya pembentangan hala tuju yang jelas lagi tepat.

Hala tuju untuk menang dan kembali berkuasa itu tepat mengambil kira bahawa jika UMNO berkuasa, parti itu boleh melaksanakan segala dasar dan program untuk kepentingan rakyat di seluruh negara.

Untuk itu, dalam ucapan dasarnya, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu setiap ahli parti bersedia dengan pemikiran government-in-waiting (GIW) atau kerajaan menanti.

Bukan sekadar perasan untuk membentuk kerajaan tetapi bersedia bila-bila masa untuk kembali berkuasa. Bersedia dengan segala kemungkinan dalam keadaan kerajaan sekarang yang rapuh kerana parti yang dominan tidak menerajui kerajaan.

Pada hemat penulis, seharusnya orang UMNO ketepikan apa sahaja bentuk reaksi negatif terhadap persediaan pemikiran GIW ini kerana ia sebenarnya boleh dijadikan slogan untuk lebih cepat menyusun semula parti yang sedang melalui fasa kelam serta ramai ahli yang masih keliru selepas buat pertama kali dalam sejarah gagal menang untuk menubuhkan kerajaan di peringkat Persekutuan.

Mereka seharusnya mengambil langkah untuk memperkasa parti dan membina keyakinan masyarakat agar GIW ini lebih mudah dan lebih cepat mendapat kepercayaan masyarakat untuk kembali berbakti kepada rakyat dan negara, sebagai peneraju kerajaan.

Langkah-langkah tersebut sudah jelas digariskan oleh Ahmad Zahid dalam ucapan dasar beliau dengan tujuh teras yang disokong oleh 21 langkah tersusun untuk sampai ke hala tuju UMNO. Ia harus dilaksanakan segera di semua peringkat jika mahu UMNO kukuh dan mantap.
 Kesediaan Presiden UMNO mempengerusikan Jawatankuasa Hala Tuju UMNO memaparkan hasratnya agar ahli UMNO di setiap peringkat mengambil serius intipati ucapan dasar tersebut. Ia hanya boleh dicapai dengan gerak kerja berpasukan. Bukan hanya bergantung kepada peringkat ibu pejabat saja.

Sekiranya orang UMNO masih bermimpi mengharapkan agensi kerajaan untuk membantu parti, bukan sahaja slogan GIW itu tidak perlu dicanang, malahan parti itu sendiri seolah-olah bersedia untuk wujud hanya dalam buku-buku sejarah dan mengesahkan komen-komen negatif terhadap mereka.

Bertolak daripada susunan dalaman dan pelaksanaan program pembangunan parti, penulis percaya UMNO juga harus susuli dengan mengumumkan dasar-dasar yang sesuai untuk negara terutama mengenai dasar ekonomi yang boleh menarik pelabur luar dan dasar hubungan luar serta keselamatan antarabangsa.

UMNO sudah 61 tahun berpengalaman dan ia boleh dan mampu dilaksanakannya dengan cemerlang. Ini semua untuk kepentingan masyarakat dan negara dalam menuju ke arah negara maju.

Ia juga persediaan menghadapi pelbagai cabaran dalam landskap politik dunia. Ini termasuk ujian keadaan ekonomi dunia yang suram.

Pengumuman dasar-dasar sebegini, terutama sekiranya lebih positif kepada pelabur luar dan hubungan antarabangsa yang baik, akan meletakkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) atau gagasan gabungan baharu itu nanti dalam radar para pelabur serta kerajaan-kerajaan negara jiran dan antarabangsa.

Suasana politik sebegini boleh menjadikan politik Malaysia semakin matang dan terbuka. Ia formula terbaik ke arah menjadi sebuah negara maju.

Sejajar itu, UMNO perlu penglibatan mereka yang lebih berpendidikan, luas pandangan, kritis serta komited, sesuai dengan seruan Presiden UMNO.

Untuk itu dalam teras Hak Kuasa Istimewa yang menyentuh usaha memudahkan proses permohonan keahlian dengan menurunkan kuasa kepada negeri-negeri pasti banyak membantu membentuk UMNO yang lebih progresif tetapi kekal konservatif. — UTUSAN ONLINE

 

  • Penulis ialah Presiden Pertubuhan Jati.

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.