Pemimpin pembangkang Bangladesh yang uzur, Khaleda Zia akan dipindahkan dari sebuah penjara digeruni ke hospital kerajaan, kata peguamnya hari ini susulan arahan mahkamah berikutan keadaan kesihatannya yang merosot.
Mahkamah Tinggi membuat keputusan itu lewat semalam selepas peguam bekas perdana menteri itu berkata, kerajaan meletakkan tahap kesihatannya berisiko apabila menolak rawatan pakar terhadap pemimpin itu.
Zia, yang mengetuai Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), dipenjarakan Februari lalu atas tuduhan rasuah.
Berdepan dakwaan lanjut rasuah dalam satu perbicaraan awal bulan lalu, pemimpin pembangkang itu berkata, dirinya ‘sakit teruk’ dan tangan serta kakinya menjadi lumpuh.
“Mahkamah mengarahkan anak guam saya menerima rawatan di Hospital Universiti Perubatan Bangabandhu Sheikh Mujib dengan segera,” kata peguamnya, Zainal Abedin kepada AFP.
Zia dijatuhi hukuman penjara lima tahun atas tuduhan rasuah Februari lalu, mencetuskan pertembungan antara polis dan ribuan penyokong BNP.
Pemimpin itu didapati bersalah menggelapkan wang disalurkan kepada pertubuhan anak yatim, dakwaan ditolak sebagai bermotif politik. -AFP
Discussion about this post