Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa disifatkan sebagai seorang tidak memahami konsep ‘Saddu Al-Zara’i’ (menutup ruang daripada berlaku kemaksiatan) sehingga mendorongnya memberi kenyataan mengenai isu tiada lagi tangkapan khalwat di premis persendirian.
Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Datuk Nassuruddin Daud berkata, sebagai seorang yang bertaraf Menteri, Mujahid tak sepatutnya berkata demikian.
“Beliau perlu memahami konsep ‘satu zarat’ itu terlebih dahulu sebelum memberi kenyataan.
“Saya tidak berhajat untuk mengulas panjang. Saya dah berbincang hal ini dengan Mufti negeri (Datuk Mohamad Shukri Mohamad) dan memintanya memberi kenyataan balas tentang isu ini,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.
Nassuruddin berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Dr Mujahid bahawa tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti yang menyalahi ajaran Islam.
Mujahid bagaimanapun menegaskan beliau akan menjelaskan kenyataannya berhubung penguatkuasaan jenayah khalwat, Isnin ini.
Hari ini, Mujahid menafikan laporan yang menggambarkan bahawa beliau seolah-olah membenarkan perbuatan maksiat dan khalwat.
Sementara itu, Mohamad Shukri sehingga petang ini gagal dihubungi untuk mendapatkan komen tentang isu itu.
Difahamkan beliau belum bersedia memberi kenyataan kerana baru pulang dari luar negara. — BH ONLINE
Discussion about this post