26 °c
Kuala Lumpur
Wednesday, November 21, 2018

Rafizi Pintas Azmin Buat Kali Pertama

Kemenangan dengan majoriti besar di Cabang Setiawangsa di sini, menjadi antara detik penting membantu Rafizi Ramli mengatasi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR peringkat Wilayah Persekutuan.

Rafizi secara tidak rasmi menang di Wilayah Persekutuan dengan 2,929 undi berbanding Mohamed Azmin, 2,794 undi.

Perkembangan itu sekali gus membolehkan Rafizi kini me­ngumpul 19,160 undi selepas enam negeri manakala Moha­med Azmin sebanyak 19,112 undi, sekali gus memadamkan kelebihan 92 undi yang dimiliki oleh Mohamed Azmin sebelum ini.

Kemenangan itu juga akhir­nya membolehkan Rafizi kini mendahului lawannya buat kali pertama sejak Pemilihan PKR bermula pada 22 September lalu.

Selain Setiawangsa, cabang yang dimenangi oleh Rafizi di Wilayah Persekutuan ialah Kepong, Wangsa Maju, Segambut, Titiwangsa, Labuan dan Putrajaya manakala Batu, Bukit Bintang, Lembah Pantai, Seputeh, Cheras dan Bandar Tun Razak berpihak kepada Mohamed Azmin.

Kuala Lumpur merupakan antara destinasi terakhir siri kempen yang dilakukan oleh Rafizi Ramli sebelum Pemilihan PKR bermula sepenuhnya.

Kemenangan di Cabang Labuan juga bukan sesuatu yang mengejutkan apabila Sabah yang berhampiran dengan wilayah tersebut kini dianggap sebagai kubu kuat Rafizi.

Dalam satu kenyataan, Rafizi berkata beliau terhutang budi kepada ahli-ahli PKR di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan yang memilihnya.

“Setakat ini Reformasi 20 Tahun (kem beliau) menang di empat daripada enam negeri dan telah meletakkan saya dan saudara Akmal Nasir mendahului persaingan Timbalan Pre­siden PKR dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK). Lebih ramai juga calon-calon Reformasi 20 Tahun yang kini menduduki senarai 20 calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Sama-sama kita usahakan supaya kita mendapat keputusan yang lebih baik minggu depan di cabang-cabang di Se­langor,” katanya.

Pemilihan PKR seterusnya akan diadakan di Selangor pada 14 Oktober ini, sehari selepas Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.