29 °c
Kuala Lumpur
Saturday, November 17, 2018

MINDA: Menanti Fajar Baharu Ekonomi Negara

Oleh Reezal Merican Naina Merican

 

MINGGU-MINGGU akhir sebelum sidang Parlimen berlangsung seakan-akan cukup sarat dengan ‘acara-acara ekonomi’ pihak kerajaan.

Ini pada hakikatnya satu perkembangan yang sangat positif. Memang berbulan lamanya rakyat menunggu terzahirnya pelan ekonomi yang holistik dan komprehensif dalam berhadapan suasana ekonomi yang suram mutakhir ini.

Penulis tidak menggunakan perkataan ‘suram’ ini dengan sesuka hati. Perkataan sama digunakan oleh banyak pihak, termasuk bakal Perdana Menteri Malaysia ke-8, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam beberapa siri pertemuan beliau dengan fraterniti usahawan dan perniagaan.

Kita tidak pasti mengapa bakal Perdana Menteri mengambil pendirian demikian; namun itu mungkin berdasarkan pemerhatian peribadi beliau dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Banyak acara ‘ekonomi’ akan berlaku dalam masa terdekat ini. Dalam konteks Malaysia, rakyat pastinya menunggu banyak berita dan perkhabaran menggembirakan akan diumumkan oleh pihak kerajaan.

Kementerian Kewangan telah menganjurkan forum bertajuk Malaysia: A New Dawn minggu lalu. Sebelum ini, Khazanah Megatrends Forum 2018 juga telah dilaksanakan.

Di peringkat lebih tinggi, mesyuarat World Bank – IMF 2018 juga akan berlangsung dalam masa terdekat ini. Kalangan media dan penganalisis ekonomi antarabangsa juga dikatakan sedang menunggu data ekonomi terkini berkait negara-negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, China dan Malaysia dalam masa terdekat ini.

Secara peribadi, penulis menganggap memang sudah tiba masa Malaysia bercakap mengenai ‘fajar baharu ekonomi’. Harapan kita di pihak pembangkang, mahupun majoriti rakyat, kerajaan sewajarnya sudah mula menggaris dan melukis perspektif baharu berkenaan ekonomi Malaysia. Tidak perlu diulang-ulang cerita lama seperti 1MDB, beban hutang dan sebagainya.

Ada ketikanya, rakyat menjadi lelah dengan kenyataan-kenyataan ekonomi yang longgar di pihak kerajaan. Sekejap seperti terlalu yakin dengan kebijakan ekonomi; dan di waktu lain menjadi seakan-akan hilang tujuan dan arah. Rakyat memang mengharapkan kenyataan dan iltizam yang lebih bersungguh di pihak kerajaan. ‘Bulan madu’ dan keseronokan memperoleh mandat dan kepercayaan rakyat sudah mula lesap dan sirna.

Fajar baharu – Ambil sepenuhnya tanggungjawab!

Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Hala Tuju Baharu 2018 – 2020 bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama, Parlimen Ke-14, akan dibentangkan dalam masa terdekat. KSP ini, pada pandangan penulis, menjadi taruhan awal pihak Kerajaan merencana kebijakan dasar yang wajar diperkenalkan dalam masa terdekat.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali memberikan penegasan bahawa KSP bakal menjadi pelan tindakan jangka pendek dalam menentukan strategi ekonomi kerajaan. Beliau juga pernah berkata, KSP akan memastikan “keserasian tindakan” di antara strategi kerajaan dan manifesto Pakatan Harapan.

Selepas pembentangan KSP; Bajet 2019 akan menyusul. Daripada kenyataan awal Menteri Kewangan – banyak “langkah perit” yang akan diperkenal berbanding berita yang menenangkan hati dan perasaan rakyat. Kita belum pasti apakah yang dimaksudkan; namun kita boleh mengagak bahawa ia berkait penyusunan semula subsidi dan pendedahan lapuk bahawa “kita perlu membayar hutang”, berbanding mencari ramuan memudahkan kehidupan rakyat.

Fajar baharu ekonomi – kita harapkan tidak penuh dengan keputusan yang terus meletakkan rakyat sebagai ‘mangsa’ kepada cerun licin pelbagai cadangan yang dikemukakan pihak kerajaan.

Data dan analisis ekonomi sudah mula menggambarkan keadaan yang kurang enak didengar. Bank Dunia sudah meneliti semula unjuran ekonomi Malaysia.

Daripada unjuran awal 5.4 peratus; kepada 4.9 peratus. Ini pastinya membawa kesan yang bukan sedikit.

Kelangsungan ekonomi Melayu/bumiputera

Penulis beberapa kali meneliti pandangan bakal Anwar berkenaan ekonomi Malaysia. Pandangan paling jelas, pastinya sewaktu Majlis Penutupan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018 tempoh hari.

Fajar baharu ekonomi, walaupun `se-liberal’ mana mahu diperkenalkan, tidak wajar meminggir kepentingan ekonomi Melayu dan bumiputera.

Anwar sendiri mengakui ekonomi Malaysia semakin malap dan lesu. Kerangka besar ekonomi mesti menjurus kepada usaha mewujudkan “pembangunan”; yang kemudiannya diterjemahkan kepada usaha “pengagihan”.

“Jika tiada “pembangunan ekonomi”, apa yang mampu dan boleh diagih oleh kerajaan?” tanya bakal Perdana Menteri lagi.

Beliau secara tegas mahukan kerajaan meninggalkan “kerangka pemikiran ekonomi lama” dan menerbitkan “fajar baharu” dalam bidang iktisad. Rakyat menunggu terbitnya fajar ini.

Apakah ia akan terbit selepas pembentangan KSP? Atau kita perlu menunggu tempoh enam bulan selepas pembentangan bajet?

Di dalam ucapan sama, Anwar juga mahukan kerajaan memperkenalkan strategi bantuan lebih jelas kepada orang Melayu dan bumiputera.

Kerajaan Pakatan, tegasnya lagi mesti meninggalkan “fahaman ke-bumiputeraan lama”; dan melihat kepada versi yang lebih baharu dan munasabah.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi sewaktu di Khazanah Megatrends Forum juga bercakap akan peri pentingnya mempunyai “logik baharu” di dalam bidang ekonomi.

Rakyat tidak punya masalah; berikan mereka “logik baharu”, “fajar baharu”, “penambahbaikan fahaman lama ekonomi” – dan apa sahaja terma sekali pun; asalkan untung nasib mereka terpelihara dan terbela.

Melaksana janji manifesto

Beban utama kepada Kerajaan Pakatan Harapan adalah melaksana janji-janji manis yang dikemukakan kepada rakyat.

Ya, mereka mungkin berkata “manifesto bukan kitab suci”, namun ini tidak membuatkan mereka lepas bebas sepenuhnya daripada tanggungjawab moral untuk melaksanakan apa yang mereka akadkan dengan rakyat.

Penulis fikir, rakyat sudah memberikan ruang yang seadilnya untuk kerajaan memulakan iltizam dan ikhtiar baharu dalam memastikan ekonomi Malaysia berada di landasan tepat.

Ya, mungkin tempoh beberapa bulan lalu, cerita kelemahan pentadbiran lama boleh dijadikan bahan kempen dan pelindung kritikan rakyat.

Namun, suasana dan tempoh itu sudah sewajarnya ditinggalkan.

Terlaksananya forum khusus ‘Malaysia: A New Dawn’, pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-11, pembentangan Bajet 2019 hujung tahun ini nanti – seharusnya menjadi titik tolak bahawa kerajaan sudah perlu memimpin negara ini dengan acuan mereka sendiri.

Di pihak pembangkang, kami akan terus memberikan kritikan dan pandangan yang sewajarnya kepada usaha pihak kerajaan.

Penyediaan bajet alternatif kepada segala usaha kerajaan akan dibentangkan kepada rakyat. Segalanya, setiap inci janji dan perkataan yang dibuat oleh pihak kerajaan – akan kami telusuri dengan sebaik mungkin.

Kita menghormati pandangan kerajaan bahawa mereka akan melakukan banyak usaha penjajaran semula, sekali gus mengutamakan semula perbelanjaan dan perbendaharaan kerajaan.

Inilah yang rakyat tunggu dan nantikan. Jangan cuba menyorokkan keadaan sebenar ekonomi dengan terma-terma hebat; namun tidak mampu ditangani dengan tuntas oleh jentera kerajaan.

Sewaktu merasmikan ‘Khazanah Megatrends Forum 2018’, Menteri Hal Ehwal Ekonomi sendiri mengakui bahawa banyak isu yang mesti diselesaikan oleh pihak kerajaan.

Isu pengangguran di kalangan generasi muda, mewujudkan polisi dan program sosio-ekonomi yang progresif, dan menzahirkan kebijakan ekonomi berteraskan “mendahulukan rakyat” mesti diberikan keutamaan.

Sebagai pembangkang yang berwibawa, strategi dan langkah tepat dalam memperbaiki suasana ekonomi – akan diberikan sokongan.

Adakalanya, khususnya di dalam suasana ekonomi yang rumit; ia menuntut kerjasama dan persepakatan yang merentas ideologi politik.

Dewan Rakyat yang bakal bersidang hari ini tidak boleh menjadi medan perseteruan politik yang mendatangkan rugi kepada rakyat.

Ini falsafah tunggak yang perlu disepakati semua pihak. Masalah ekonomi negara tidak wajar menjadi sandaran dan gadaian politik.

Kebolehpercayaan rakyat terhadap institusi Parlimen – khususnya dalam usaha memustaidkan kebijakan ekonomi terbaik untuk rakyat perlu diusahakan semua pihak.

Fajar baharu ekonomi Malaysia boleh bermula di Dewan Rakyat. Ia boleh bermula dengan perbincangan yang tulus berkenaan usaha dan ikhtiar baharu.

Musim untuk menuding jari, mencari salah sudah wajar berlalu. 
 — UTUSAN ONLINE

 

  • DATUK SERI REEZAL MERICAN NAINA MERICAN ialah Ahli Parlimen Kepala Batas

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.