25 °c
Kuala Lumpur
Sunday, November 18, 2018

Pelihara Anak Dengan Amanah

Apabila kita mendapat tahu ada kejadian pelajar tahfiz didera secara seksual, insiden itu pasti boleh menimbulkan rasa marah kepada sesiapa pun. Namun di sebalik kejadian ini ada kisah yang lebih menyayat hati.

Hakikatnya, bukan semua ibu bapa atau penjaga yang terlibat benar-benar mahu pelaku perbuatan keji itu diheret ke muka pengadilan. Rasa terkilan anak diperlakukan begitu hanya didiamkan begitu sahaja. Meskipun ada pihak yang prihatin bersungguh-sungguh memujuk ibu bapa terlibat supaya maruah si anak yang menjadi mangsa dibela dan diperjuangkan, tetapi malangnya penjaga terbabit tetap memilih diam sejuta bahasa.

Di satu sudut yang lain pula, ada satu kisah tentang seorang anak gadis yang masih berada di bawah umur, dengan ditemani datuknya memohon izin mahkamah untuk berkahwin. Apabila pihak mahkamah bertanyakan tentang alasan atau sebab dia mahu berkahwin sedangkan masih di bawah umur, jawapan yang diterima hanya diam tanpa kata-kata.

Reaksi yang diberi agak mencurigakan, tidak sebagaimana gadis-gadis lain yang memang mahu (atau perlu) untuk berkahwin dengan rasa cinta dan rela. Datuk yang menemani sekadar acuh tidak acuh apabila ditanya.

Ternyata apabila diteliti, rupa-rupanya di sebalik permohonan gadis itu terdapat perancangan pihak yang telah menganiayanya dan mahu menutup kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya. Maruah gadis itu telah dirobek dan kemudiannya cuba ditutup dengan ikatan pernikahan. Benar, langkah itu satu ‘penyelesaian’ yang mudah, tetapi terlalu keji untuk diterima oleh akal yang waras.

Dua cerita yang merentap rasa kecewa berbaur terkilan ini adalah sebahagian daripada kisah benar yang berlaku dalam masyarakat kita berkaitan dengan kanak-kanak atau mereka yang berada di bawah umur yang sempat penulis kutip untuk dikongsikan bersama pembaca semasa menghadiri satu muzakarah fiqh bertemakan ‘Pemerdayaan Wanita, Kanak-kanak dan Keluarga’ beberapa hari yang lalu, anjuran Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan rakan-rakan kerjasamanya.

Dua kisah ini mengisahkan kepada kita tentang sikap segelintir ibu bapa atau penjaga yang amat cuai, tidak peduli, tidak bersungguh-sungguh melindungi, tidak benar-benar mempertahan serta memperjuangkan kehormatan anak-anak yang sebenarnya telah Allah SWT jadikan mereka sebagai amanah kepada orang dewasa.

Sesungguhnya anak-anak ini adalah golongan rentan, yang amat memerlukan perlindungan dan pembelaan orang dewasa terutamanya oleh ibu bapa, penjaga dan ahli keluarga.

Dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda :“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (bersih). Kedua-dua orang tuanyalah yang akan menjadikannya sebagai seorang Yahudi, seorang Nasrani mahupun seorang musyrik”

Jika kita hubungkan pengertian hadis ini dengan hasrat ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat pendidikan atau persekolahan yang baik dari pelbagai aspek, tindakan itu adalah usaha yang tulus pihak penjaga untuk menjadikan anak-anak ini sebagai manusia yang berkualiti dari sudut duniawi dan akhiratnya.

Bagaimanapun, kita sebagai golongan dewasa mesti memahami bahawa aspek keselamatan diri dan kesejahteraan emosi anak-anak adalah prasyarat atau aspek yang paling asas dan perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Sebagai orang dewasa juga, kita mesti menerima hakikat bahawa apabila anak-anak mula mengerti tentang kehidupan, mereka juga pada masa sama akan mengerti tentang makna harga diri. Kesejahteraan emosi dan harga diri adalah perkara bermakna yang akan dibawa oleh manusia sehingga akhir hayat mereka. Minda manusia tidak akan mampu menghargai ilmu jika emosi mereka cedera, apatah lagi jika melibatkan salah laku dan penderaan.

Dalam hal menjaga amanah walau apa bentuk serta jenisnya, Islam mengambil perhatian yang cukup berat. Melalui sebuah hadis daripada Ibnu Umar, betapa Rasulullah SAW menyatakan bahawa setiap diri kita ini adalah pemimpin dan setiap daripada kita nanti akan dipersoalkan tentang perkara yang di bawah jagaan kita. Tanpa mengira di mana kedudukan atau peringkat, semuanya akan dipersoalkan. Bahkan, hadis berkenaan turut menyebut, seorang hamba sekalipun akan ditanya tentang harta tuannya yang menjadi amanah kepadanya.

Dalam mengejar kehidupan di dunia, kita sebagai orang dewasa ada ketikanya amat cuai untuk menghayati ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah iaitu melayan golongan kanak-kanak dengan baik adalah sebahagian daripada kemuliaan. Sehinggakan Rasulullah pernah menempelak seorang sahabat yang tidak pernah mencium anaknya sendiri melalui satu hadis baginda.

Pendek kata, Islam melalui nas-nas yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah begitu sempurna mengajar kita tentang bab menjaga kanak-kanak dan melindungi hak mereka.

Selain itu, tanggungjawab membela, mempertahankan dan memperjuangkan hak kanak-kanak bukan sahaja terletak pada bahu ibu bapa dan ahli keluarga tetapi turut membabitkan anggota masyarakat. Sebagai contoh, dalam situasi gadis dalam cerita kedua tadi, jika hakim tidak membuat penelitian, pemeriksaan dan siasatan terperinci, barangkali nasib gadis malang tersebut akan menjadi bertambah malang dan terus tidak terbela.

Sebagai golongan dewasa kita perlu bermuhasabah, sama ada kita ini tergolong dalam kalangan mereka yang menunaikan hak kanak-kanak atau cuai dalam mempertahankan hak kanak-kanak ini.

Sementara hayat masih berbaki dan peluang masih ada, sama-samalah kita menunaikan hak mereka serta memberi sumbangan demi kesejahteraan kanak-kanak yang menjadi golongan pelapis generasi hari ini.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). -UTUSAN ONLINE

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.