29 °c
Kuala Lumpur
Saturday, November 17, 2018

CTR Kini Dikurangkan RM25,000

Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengurangkan laporan transaksi tunai (CTR) harian kepada RM25,000 daripada RM50,000 pada masa ini, berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, langkah itu akan menjadikan CTR Malaysia setara dengan negara lain, memandangkan had semasa adalah terlalu tinggi dan tidak menepati saiz ekonomi negara, terutama apabila berkaitan dengan­ kuasa beli.

“Oleh itu, sudah tiba masa­nya kita mencari pendekatan memperkukuh kawalan tersebut dalam mengurangkan jenayah kewangan, iaitu dengan keperluan CTR,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Persidangan Antarabangsa Mengenai Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) 2018 di sini hari ini.

Menurut laman web BNM, CTR merujuk kepada transaksi tunai melebihi RM50,000 (atau sebarang jumlah lain yang dinyatakan) melibatkan mata wang fizikal (mata wang domestik atau asing) dan instrumen boleh runding pembawa seperti cek pengembara, tidak termasuk draf, cek, pindahan elektronik atau pembiayaan semula atau pembaharuan deposit tetap.

Ia juga termasuk transaksi melibatkan pengeluaran tunai daripada akaun atau tukaran instrumen boleh runding pembawa bagi tunai. Pada masa ini, hanya institusi perbankan dan kasino berlesen diwajibkan menye­diakan CTR.

Nor Shamsiah berkata, dengan CTR dikurangkan, bank pusat menjangkakan tiada sebarang kesan dari segi aktiviti ekonomi, malah meningkatkan keberkesanan dalam mengawal kegiatan ekonomi di luar sistem pengawalseliaan dan percukaian yang masih bergantung kepada transaksi tunai.

Beliau menjelaskan CTR yang lebih rendah juga boleh memperkukuh kawalan untuk mengurangkan jenayah kewangan kerana pengekalan transaksi tunai dalam kalangan awam serta perniagaan kecil dan sederhana masih tinggi, walaupun dengan kemunculan teknologi.

“Ini mendedahkan ekonomi ini kepada risiko, memandangkan tunai masih digunakan oleh penjenayah sebagai cara untuk melabur hasil haram,” katanya.
Beliau berkata, selain itu, transaksi tunai juga merupakan kaedah pilihan untuk membiayai aktiviti keganasan.

Sehubungan itu, CTR perlu dikemas kini, katanya.
Nor Shamsiah berkata, mata wang dalam edaran di Malaysia telah meningkat kira-kira 150 peratus sejak sedekad lepas.

“Bagaimanapun, jika kita menilainya berasaskan Keluaran Dalam Negara Kasar, ia agak stabil, berada dalam julat antara 6.1 dan 6.9 peratus sejak lima tahun lepas,” katanya. – BERNAMA

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.