25 °c
Kuala Lumpur
Sunday, November 18, 2018

BELANJAWAN2019: Peruntukan Lebih Tinggi Untuk Belanjawan 2019

Walaupun dalam keadaan ekonomi serta kewangan yang agak menekan, Kerajaan Pakatan Harapan berupaya mengumumkan peruntukan belanjawan yang lebih tinggi bagi 2019 beserta beberapa cukai baharu serta peningkatan cukai selain cadangan bayaran khas kepada penjawat awam.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM314.5 bilion untuk Belanjawan 2019 berbanding RM290.4 bilion pada Bajet 2018, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019 yang Bertemakan ”Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera” di Dewan Rakyat hari ini.

Peruntukan ini tidak termasuk simpanan luar jangka berjumlah RM2 bilion, katanya.

Menurut Lim, pada 2019, Kerajaan Persekutuan dijangka mengutip hasil sebanyak RM261.8 bilion berbanding RM239.86 bilion pada 2018, dan ini merangkumi dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion untuk membayar balik tunggakan bayaran balik Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion.

Beliau berkata defisit fiskal pula dijangka mencapai 3.7 peratus pada 2018 kerana adalah tidak realistik untuk mencapai sasaran defisit 2.8 peratus walaupun kerajaan telah berusaha sebaik mungkin untuk mengurangkan kos dan menunda perbelanjaan tidak kritikal.

Bagi tempoh tiga tahun akan datang, katanya, pentadbiran Pakatan Harapan komited dalam melaksanakan langkah konsolidasi fiskal untuk mengurangkan defisit kepada 3.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019, 3.0 peratus pada 2020 dan 2.8 peratus pada 2021.

Dalam jangka masa sederhana, defisit dijangka terus berkurangan kepada sekitar 2.0 peratus.

Lim berkata KDNK pula diunjur berkembang sebanyak 4.8 peratus pada 2018 dan akan meningkat kepada 4.9 peratus pada 2019 walaupun dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Belanjawan 2019 menumpukan kepada tiga fokus iaitu – Melaksanakan Reformasi Institusi, Memastikan Kesejahteraan Rakyat dan Memupuk Budaya Negara Keusahawanan. – BERNAMA

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.