29 °c
Kuala Lumpur
Saturday, November 17, 2018

Jurutera Pula Mungkin Hilang Kerja

Langkah kerajaan mengurangkan sehingga 47 peratus daripada kos projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) menyebabkan syarikat tempatan yang terlibat tersepit memandangkan kontrak kerja akan disemak semula kontraktor utama.

Malah mereka bimbang ke­rana terdapat beberapa perancangan kerajaan sebelum ini tidak dapat dilaksanakan, antaranya menggalakkan syarikat tempatan membuat pemasa­ngan sendiri komponen kereta api.

Menurut sebuah firma perunding kejuruteraan yang terlibat dalam projek itu, mereka kini menanggung kerugian hampir RM1 juta dalam tempoh lima bulan setelah program kerjasama dengan sebuah syarikat di luar negara tidak dapat dijalankan dan kontraktor utama terpaksa memberhentikan khid­mat perundingan disebabkan projek dihentikan seketika.

Setakat ini, mereka telah merujuk kepada kontraktor utama mengenai keadaan tersebut tetapi masih belum ada kata putus berhubung perkara ini.

“Sejak projek ini disemak semula lima bulan lalu, kerja-kerja yang kami buat sebelum itu (sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14) terhenti. Dalam tempoh ini, kami terpaksa membayar kos pengubahsuaian kilang sebanyak RM200,000, sewa RM15,000 sebulan dan bayaran gaji lima jurutera dan kakitangan lain yang terlibat.

“Namun, setelah kami membuat pelaburan ini (termasuk bantuan dana yang akan di­terima daripada SIRIM), kerja-kerja ini tidak dapat digerakkan. Kami khuatir jika inisiatif untuk memotong kos projek akan memaksa kontraktor utama untuk mengabaikan polisi ‘localization’ kerajaan dengan alasan untuk mencapai keperluan pengurangan kos dengan menggunakan produk yang kurang berkualiti dan membuat segala kerja pemasangan di negara sendiri (China).

“Apa akan terjadi kepada syarikat-syarikat tempatan yang telah melabur mengikut polisi localization kerajaan? Kami juga kecewa kerana tiada maklumbalas yang konkrit daripada Rakan Kongsi Penyampaian Projek (PDP) atau kerajaan bila projek ini akan diteruskan.

“Buat masa ini, kewangan syarikat hanya mampu bertahan sehingga suku pertama tahun hadapan. Sekiranya masih tiada keputusan dibuat, kami bimbang kerana terpaksa memberhentikan pekerja terutama jurutera,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tiga minggu lalu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek LRT3 dengan belanja sebanyak RM16.6 billion, me­rangkumi kos pengambilan balik tanah, faedah semasa pembinaan dan kos-kos lain. Pelaksanaan projek itu akan distrukturkan semula daripada PDP kepada rejim kontrak harga tetap.

Pada 2015, pengendali projek LRT3, Prasarana Malaysia, telah melantik MRCB dan George Kent (Malaysia) Bhd. sebagai PDP bagi LRT3, dengan bajet permulaan sebanyak RM9 bilion untuk kerja-kerja pembinaan dan RM1 bilion bagi pengambilalihan tanah.

Sementara itu, Pengarah Urusan Laras Architects Sdn. Bhd., Ar. Hamka Abu Dardak berkata, walaupun syarikatnya tidak terlibat secara langsung dengan projek MRT2 mahupun LRT3, tetapi sekiranya keadaan ini berlanjutan ia kemungkinan menjejaskan syarikat-syarikat hiliran sepertinya.

Katanya, buat masa ini, syarikatnya terlibat sebagai perunding kepada kontraktor yang membekalkan badan kereta api untuk projek MRT2.

“Kami berharap laluan (track) yang dirancang tidak lama tertangguh, kerana lambat laun ia akan memberi kesan kepada syarikat-syarikat lain terutama kepada pembekal-pembekal kecil. Sebagai contoh, kalau track tak dapat disiapkan dalam tempoh yang telah dirancang, tren yang telah disiapkan ini hendak letak di mana?,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.