29 °c
Kuala Lumpur
Saturday, November 17, 2018

Banteras ‘Tangan Ghaib’

Tragedi tanah runtuh di Cameron Highlands, Pahang dan di Bukit Kukus, Pulau Pinang baru-baru ini bukanlah kali pertama berlaku di Malaysia melibatkan kawasan lereng bukit.

Di Cameron Highlands misalnya, aktiviti penerokaan hutan secara berleluasa untuk tujuan pertanian juga berlanjutan sejak sekian lama, dan dalam tempoh itu juga kita menyaksikan bencana alam seperti banjir lumpur dan tanah runtuh kerap kali berlaku.

Walaupun telah banyak desakan daripada pelbagai pihak khususnya badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan para aktivis alam sekitar untuk menghentikan segala bentuk aktiviti pembangunan dan penerokaan di kawasan-kawasan lereng bukit yang berisiko, namun seolah-olah langsung tidak diendahkan oleh pihak terbabit.

Sebaliknya, aktiviti pembangunan di kawasan-kawasan sensitif alam sekitar masih rancak dilaksanakan tanpa memikirkan faktor keselamatan kepada penduduk setempat dan juga kemaslahatan alam sekitar. Sedangkan, tragedi tanah runtuh yang berlaku di segenap pelosok negeri kesemuanya adalah berakar umbi daripada kesilapan sama, yakni ekoran daripada aktiviti pembangunan yang tidak beretika dan melampaui batas.

Malah, aktiviti-aktiviti pembangunan yang dilaksanakan pada hari ini juga bukan sahaja tidak mengikut peraturan dan garis panduan sebagaimana yang ditetapkan oleh pihak berwajib, sebaliknya turut melanggar hukum alam itu sendiri sehingga mengundang risiko bencana yang kian berleluasa sejak kebelakangan ini.

Dalam al-Quran, Allah SWT ada menyebut bahawa bukit-bukau dan gunung-ganang diciptakan oleh Allah SWT bukan dengan sia-sia, sebalik­nya memainkan peranan penting sebagai pasak bumi yang memberi kestabilan kepada struktur tanah daripada gegaran dan juga tanah runtuh. Hal ini disebutkan dengan jelas menerusi firman-Nya (Surah an-Naba’, ayat 6-7) yang bermaksud: “Bukankah Kami telah menjadikan bumi (terbentang luas) sebagai hamparan? Dan gunung-ganang sebagai pancang pasaknya?”

Daripada ayat di atas, sewajarnya dapat memberi kefahaman yang jelas kepada kita bahawa sebarang pembangunan di kawasan lereng bukit perlu dielakkan bagi memastikan pasak bumi tidak dimusnahkan dan kestabilan ekosistem di kawasan berkenaan dapat dikekalkan. Ini kerana apabila cerun dipotong atau diganggu, ia akan menyebabkan struktur tanah akan menjadi longgar dan tidak stabil dalam jangka masa panjang. Ini akan mengundang kepada kejadian bencana alam yang lebih dahsyat pada masa akan datang.

Dalam konteks ini, campur tangan pihak kerajaan adalah perlu bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang terlibat dengan aktiviti penerokaan tanah secara haram yang kian berleluasa di kawasan berkenaan.

Malah, kajian dan penelitian secara terperinci serta menyeluruh diperlukan bagi memastikan sama ada terdapat kemungkinan wujudnya tangan-tangan ghaib atau gejala rasuah di sebalik isu penerokaan tanah secara haram ini sehingga menyebabkan aktiviti berkenaan seolah-olah agak ‘kebal’ dan sukar untuk dibendung.

Sekiranya terdapat penglibatan rasuah dalam isu ini, maka ia tidak seharusnya dibiarkan menjadi barah sehingga memusnahkan khazanah alam yang cukup bernilai yang telah menjadi tarikan ekopelancongan sejak sekian lama. Sebaliknya, ia perlu dibanteras habis-habisan agar tragedi sama tidak berulang lagi pada masa hadapan.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). -UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.