29 °c
Kuala Lumpur
Saturday, November 17, 2018

Dua Wanita Islam Ke Kongres AS

Dua lagi wanita Islam dilantik untuk menduduki ke­rusi Kongres buat pertama kali dalam sejarah apabila Parti Demokrat Amerika Syarikat (AS) berjaya menguasai Dewan Perwakilan dalam pilihan raya pertengahan penggal, memberi tamparan hebat kepada Presi­den Donald Trump.

Parti Republikan bagaimanapun mengekalkan cengkaman­nya terhadap Dewan Senat da­lam pungutan suara yang menyaksi­kan berlaku kempen memecah-be­lah mengaitkan isu perkauman, imigresen dan kebudayaan.

Dengan menguasai Kongres, Parti Demokrat boleh menyiasat lebihan cukai Trump, kemungkinan konflik kepentingan perniagaan dan dakwaan melibatkan kempen pilihan raya Presiden 2016 ada kaitan dengan Rusia.

Trump juga berdepan dengan tekanan untuk mengurangkan ci­ta-cita perundangan beliau, ke­mungkinan terpaksa menghentikan janji beliau untuk mem­biayai tembok sempadan dengan Mexi­co, meluluskan pakej potongan cu­­kai atau melaksanakan dasar tegasnya mengenai perdagangan.

Bahkan, keputusan majoriti mudah sudah cukup untuk memecat Trump jika terbukti Pre­siden menghalang keadilan atau semasa kempen pilihan raya Presiden 2016 beliau berpakat dengan Rusia.

Bagaimanapun, Kongres ti­dak boleh memecat Presiden tanpa sokongan majoriti dua pertiga da­lam Dewan Senat yang kini masih dikuasai Parti Republikan.

Parti Demokrat berjaya mendahului lawannya meskipun beberapa kerusi masih belum diputuskan apabila meraih lebih 30 kerusi melepasi 23 kerusi bagi suara majoriti dalam Dewan Perwakilan yang mempunyai 435 anggota.

“Terima kasih kepada anda, esok akan menjadi hari baharu buat Amerika dan kami mempunyai tanggungjawab untuk mencari titik persamaan,” kata Pemimpin Parti Demokrat di Kongres, Nancy Pelosi.

Kemenangan Parti Demokrat banyak dibantu oleh pengundi wanita, muda dan Amerika Latin ketika 55 peratus wanita mendakwa mereka menyokong parti itu pa­da pemilihan kali ini berban­ding 49 peratus pada 2014.

Pengundi berumur antara 18 dan 34 tahun turut menyokong Parti Demokrat iaitu 62 peratus berban­ding 34 peratus memihak Parti Republikan, meningkat daripada jumlah diperoleh pada 2014 iaitu 54 peratus bagi Parti Demokrat manakala 36 peratus menyokong Parti Republikan.

Pengundi keturunan Amerika Latin juga memihak calon Parti Demokrat dengan 33 peratus sokongan berbanding 18 peratus yang diperoleh pada 2014.

Pengundi AS juga memilih dua wanita Islam Parti Demokrat untuk mengisi kerusi Kongres, sejarah pertama dicatat di negara yang tidak pernah reda dengan retorik anti-Islam.

Pelarian Somalia, Ilhan Omar menang kerusi Dewan Perwakilan di Minnesota, menggantikan Keith Ellison, yang juga wakil Islam pertama pernah dilantik ke Kongres.

Selain itu, pekerja sosial, Rashida Tlaib kelahiran Detroit daripada keluarga pendatang Palestin pula, memenangi kerusi Dewan Perwakilan tanpa dicabar wakil Parti Republikan.

Kemenangan dua ahli politik itu menjadikan jumlah wakil Islam di Dewan Perwakilan kepada tiga orang.

Ahli Kongres Parti Demokrat, Andre Carson, keturunan Afrika-Amerika yang beragama Islam turut dilantik semula selepas menang di Indiana. – REUTERS/AFP

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.