29 °c
Kuala Lumpur
Saturday, November 17, 2018

Kerajaan Perlu Strukturkan Cukai

Kerajaan memerlukan satu struktur cukai yang lebih komprehensif bagi memastikan ia menjadi sumber pendapatan yang efektif kepada negara pada masa hadapan.

Ini kerana hasil kerajaan dijangka meningkat 10.7 peratus pada 2019, lebih tinggi daripada anggaran tahun ini sekitar 7.3 peratus walaupun tanpa melibatkan cukai barang dan perkhid­matan (GST).

Tahun lalu, GST menyumbang RM44.4 bilion kepada pendapatan kerajaan manakala cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pula ada lebih rendah hampir separuh daripada jumlah berkenaan, yang akan menyebabkan penurunan dalam hasil kerajaan.

Pakar cukai, Dr. Veerinderjeet Singh berkata, negara perlu melaksanakan satu pelan strategik untuk membangun dan menambah baik sumber perolehan cukai terutama apabila rizab minyak (dijana daripada cukai pendapatan petroleum dan ro­yalti) akan berkurangan dalam masa terdekat.

Katanya, kerangka kerja perundangan harus disemak semula secara holistik dan dalam masa sama melihat penambahbaikan dalam undang-undang cukai di rantau ini dan negara-negara lain di seluruh dunia, supaya sebarang cadangan untuk membuat pembaharuan dan meningkatkan struktur sejajar dengan perkembangan di peringkat global.

“Dalam konteks ini, apa yang paling penting ialah agensi-agensi yang terlibat dalam kutipan cukai ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, perlu meningkatkan keupayaan pe­nguatkuasaan mereka di samping menerapkan profesionalisme.

“Audit dan siasatan cukai perlu dibuat secara profesional dan bukannya melihat semata-mata kepada sasaran hasil cukai. Kita juga perlu mempunyai nombor fail cukai yang diperuntukkan kepada semua orang tanpa me­ngira status cukai seseorang dan skop pemotongan cukai perlu diperluaskan, ia hanya dike­cualikan jika nombor fail cukai didedahkan kepada pembayar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Pada Belanjawan 2019, Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan Persekutuan dijangka mengutip hasil sebanyak RM261.8 bilion pada 2019 merangkumi dividen khas Petronas sebanyak RM30 bilion untuk membayar tunggakan bayaran balik cukai GST dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion.

Sebanyak 13 langkah penambahbaikan sistem cukai juga dicadangkan di bawah Jawatankuasa Pembaharuan Cukai yang ditubuhkan pada September 2018 antaranya, Program Khas

Pengakuan Sukarela pembayar cukai dan melaksanakan kajian menyeluruh ke atas lebih 130 jenis skim fiskal sokongan pelaburan yang dikendalikan oleh 32 agensi penggalakan pelaburan.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Adli Amirullah berkata, Belanjawan 2019 hanya satu daripada faktor yang membantu pasaran tempatan kembali berada pada momentum yang positif dan pada masa sama, tekanan luar tidak boleh diabaikan terutama perang dagangan antara AS dan China.

“Dengan mengambil kira harga minyak pada AS$70 (RM291.16) setong pada bajet kali ini juga menunjukkan kerajaan telah menganggarkan bahawa hasil kerajaan Persekutuan dari segi hasil bukan cukai, pendapatan pelaburan mening­kat daripada RM36.937 bilion untuk 2018 kepada RM59.523 bilion pada 2019.

“Dalam ini, saya berpendapat kerajaan berada dalam pemikiran optimistik yang menjangkakan kenaikan pendapatan pelaburan. Optimistik ini bagus, tapi kerajaan harus berhati-hati dalam mengambil kira faktor-faktor luar yang boleh memberi kesan penurunan kepada pendapatan pelaburan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.