25 °c
Kuala Lumpur
Sunday, November 18, 2018

MINDA: Isu PTPTN – Kelakar, Tak Masuk Akal

oleh Dr Shamsul Anuar Nasarah

 

MENJADIKAN Jho Low penyebab kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji memulakan bayaran balik di tangga gaji RM4,000 adalah suatu yang ‘kelakar dan tidak masuk akal’.

Saya bekas Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Saya tahu kenapa ia sukar dilaksana.

Jika alasannya masalah fiskal, mungkin ini bolehlah diterima.

Namun isu fiskal adalah akibat ketidakcekapan pengurusan ekonomi Kerajaan PH sendiri.

Persoalannya sebagai Menteri Kewangan apakah Lim Guan Eng tidak tahu mengenai kewangan PTPTN?

Sepatutnya Menteri Pendidikan atau Pengerusi PTPTN memberikan maklumat jelas kepada Menteri Kewangan berkaitan kewangan PTPTN agar kenyataan yang tidak berasas tidak dikeluarkan.

Hakikatnya kewangan PTPTN tidak ada kaitan dengan Jho Low. Ia mainan persepsi yang tidak berkesudahan oleh Guan Eng.

Saya ingin nyatakan bahawa dalam setahun, PTPTN memerlukan antara RM3 bilion hingga RM4 bilion untuk memastikan aliran kewangannya berjalan dengan baik.

Dana ini penting untuk diberikan pinjaman kepada kira-kira 200,000 pelajar baharu yang melanjutkan pelajaran ke pelbagai institusi pendidikan tinggi (IPT) dan sekitar 600,000 pelajar sedia ada di IPT dan juga perlu untuk membayar balik pinjaman PTPTN dari mana-mana institusi kewangan mengikut tempoh sepatutnya.

Maknanya, sumber kewangan PTPTN adalah pinjaman PTPTN dari institusi kewangan dan terbitan Sukuk yang dijamin kerajaan, di samping bayaran balik daripada peminjam.

Sejak 2003 PTPTN tidak lagi mendapat geran kerajaan, malah sejak ditubuhkan hanya sekitar RM5.2 bilion saja geran, itupun sudah begitu lama.

Macam mana Guan Eng boleh kaitkan Jho Low sebagai punca? Bukankah ini tidak masuk akal?

Saya rasional dalam soal ini, maka diakui bahawa melaksanakan potongan gaji baik kepada PTPTN kerana ia menstabilkan aliran kewangan PTPTN. Persoalan yang dibangkitkan oleh rakyat ialah berkaitan janji Kerajaan PH yang tidak ditunaikan, iaitu memulakan bayaran balik di tangga gaji RM4,000. Ini yang dipersoalkan.

Secara konsisten, saya ingin nyatakan bahawa polisi bayaran balik di tangga gaji RM4,000 hanya menguntungkan mereka yang telah mendapat pinjaman.

Sebaliknya merugikan pelajar sedia ada di IPT, pelajar baharu dan pelbagai pihak lain.

Malah kewangan PTPTN akan terjejas teruk jika ia dilaksanakan. Inilah antara alasan sebenar pada saya kenapa janji ini gagal dilaksanakan oleh Kerajaan PH.

Kita boleh lihat kutipan tahun ini sehingga September 2018, saya difahamkan mengalami penurunan dan difahamkan hanya sekitar RM2.1 bilion berbanding tempoh yang sama iaitu RM2.2 bilion September 2016 dan RM3.1 bilion September 2017.

Ini juga berpunca dasar baru pemutihan sekatan imigresen dan saya berkeyakinan keadaannya akan lebih parah jika dasar memulakan bayaran balik bermula gaji RM4000 dilaksanakan.

Keadaan ini menyebabkan PTPTN dijangka sukar mengutip melebihi RM3 bilion tahun ini kecuali sesuatu yang luar biasa berlaku.

Sedangkan kutipan keseluruhan tahun 2016 ialah RM3.4 bilion dan RM3.9 bilion pada 2017.

Saya boleh mengesahkan PTPTN mempunyai tahap profesional, kecekapan dan keupayaan sendiri dalam membuat kutipan kerana di zaman Kerajaan BN, PTPTN telah melangkah jauh ke hadapan.

Urusannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini boleh dilaksanakan melalui hujung jari dan tidak perlu lagi ke kaunter kecuali atas urusan tertentu.

Namun, antara halangan besar untuk melaksanakan kutipan balik bermula gaji RM4,000 ialah soal data terkini peminjam.

Bagaimanapun, kenyataan Pengerusi PTPTN baru-baru ini dengan mengatakan pengurusan data PTPTN lemah adalah tidak tepat.

Kalau datanya lemah, bagaimana PTPTN boleh menguruskan akaun peminjam yang berjumlah lebih 2.8 juta orang tidak termasuk akaun simpanan?

Malah urusan PTPTN sewaktu kerajaan BN telah boleh dilakukan melalui online. Semua ini hasil penambahbaikan dan kecekapan pengurusan PTPTN sejak Kerajaan BN lagi.

Apa yang saya maksudkan data tidak lengkap ialah data terkini pekerjaan peminjam.

Data ini sukar diperoleh. Jika dilaksana dasar mula bayar di tangga gaji RM4,000 di ketika data tidak lengkap adalah kemungkinan ramai yang mengaku bahawa gaji mereka masih di bawah paras RM4,000 kecuali mereka yang mempunyai penyata gaji. Maka, masalah pasti akan timbul.

Justeru, selain mengambil masa menyediakan data berkenaan dan ramai yang tidak akan membuat bayaran balik, pasti akan berlaku pula peminjam yang sebelum ini membuat bayaran balik, akan menghentikan bayaran balik kerana mahu juga membayar selepas tangga gaji RM4,000 sebulan. Ini akan menambahkan jumlah peminjam yang tidak membayar hutang.

Keadaan ini akan memberikan kesan besar pada kewangan PTPTN dan kutipan boleh menurun secara mendadak kerana ramai peminjam tidak akan membayar pinjaman.

Maka, jika kutipan rendah masalah besar akan berlaku kepada PTPTN. Sedangkan sebelum ini, melalui pelbagai kempen #bolehbincang dan inisiatif Kerajaan BN lakukan, PTPTN sebenarnya telah berjaya menurunkan jumlah mereka yang tidak membayar hutang.

Sehingga 30 September 2017, terdapat hanya seramai 410,500 peminjam PTPTN tidak pernah membuat sebarang bayaran balik dengan tunggakan sebanyak RM2.79 bilion.

Jumlah ini menurun jika dibandingkan sebelum ini.

Saya yakin jika polisi baharu ini dilakukan akan berlaku semula peningkatan yang mendadak jumlah mereka yang tidak membayar pinjaman dan ini dengan sendirinya menggagalkan usaha murni yang telah bertahun tahun PTPTN lakukan.

Bila kutipan bayaran balik menjadi rendah, kesan besar ialah PTPTN akan menghadapi masalah aliran pusingan kewangannya.

Akhirnya PTPTN terpaksa terus meningkatkan pinjamannya daripada institusi kewangan menyebabkan PTPTN secara berterusan bergantung pada institusi kewangan.

Justeru memberikan alasan Jho Low adalah sangat tidak munasabah. Dan kenapa Guan Enf tidak menyatakan alasan yang tepat dan suka berbohong?

 

  • Penulis ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.