24 °c
Kuala Lumpur
Monday, December 10, 2018

MINDA DAULAT812: Melayu Kini Celik Perlembagaan

oleh Dr Mohd Fauzi Shaffie

 

APABILA Raja-Raja Melayu, Gabenor Malayan Union dan UMNO bersetuju untuk membentuk Komiti Perundingan (Consultative Committee) bagi mencadangkan pembentukan Perlembagaan untuk Malaya pada 1946, ertinya, urusan tersebut bukan hanya urusan komiti terbabit, tetapi ia adalah keputusan bersama yang perlu dilaksanakan.

Ini akhirnya menghasilkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Begitu juga apabila Raja-Raja Melayu bersetuju dengan Permaisuri United Kingdom untuk menzahirkan titah diraja membentuk suruhanjaya bagi mencadangkan sebuah Perlembagaan negara merdeka pada tahun 1956, hasilnya tertubuhlah Suruhanjaya Reid

Suruhanjaya ini hanya mengemukakan cadangan, yang telah diadun daripada perjumpaan-perjumpaan dengan masyarakat, cadangan parti politik dan juga cadangan daripada para ahli suruhanjaya itu sendiri.

Cadangan tersebut kemudiannya dinilai semula oleh sebuah jawatankuasa yang tidak lagi melibatkan ahli Suruhanjaya Reid, yang telah berbincang panjang, sebanyak 23 kali mesyuarat pada awal 1957.

Mereka akhirnya membuahkan Perlembagaan Persekutuan yang disahkan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957 pada 5 Ogos tahun tersebut.

• Gopoh, gelojoh

Kita sudah hidup aman berpandukan Perlembagaan ini selama 61 tahun, dan sejak beberapa bulan terakhir ini seluruh rakyat tiba-tiba dikejutkan dengan pengumuman kerajaan yang komited untuk meratifikasi ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination), sebuah perjanjian antarabangsa berasaskan hak asasi manusia.

Maka persoalan timbul kepada mereka yang mahu berfikir, kenapa persetujuan ini hendak diratifikasi tanpa mengambil kira pendapat semua pihak?

Kenapa ada yang begitu gopoh dan gelojoh mahu ambil cadangan peraturan ICERD yang dibina oleh mereka yang tidak tahu tentang sejarah, diversiti warganegara dan matlamat Perlembagaan yang sedia ada, yang boleh memberi kesan besar kepada Perlembagaan Persekutuan?

Mereka yang mencipta ICERD tidak faham negara ini, berjaya hidup makmur selepas merdeka dengan mengenepikan kebimbangan bekas penjajah.

Tindakan meratifikasi ICERD bererti Perlembagaan Persekutuan yang dibina dengan mendapat mandat daripada akar umbi, mahu dibenarkan untuk diceroboh oleh pendapat-pendapat yang langsung tidak melibatkan rakyat negara ini.

Ruangan ini tidak mampu memuatkan semua perbahasan tersebut, namun dipercayai sudah disebar dengan luas melalui media sosial. Ada beberapa orang antara pengamal undang-undang yang dituruti dan disokong pendapat mereka yang mengatakan tindakan ratifikasi ICERD tidak mengganggu Perlembagaan.

Pada saya ia adalah satu pandangan bersifat tidak jujur, menyembunyi fakta dan melindungi kesan buruk bakal terjadi. Apabila diteliti intipati ICERD, isu yang menjadi kontroversi adalah Perkara 1(1) ICERD yang menyatakan “…apa-apa perbezaan (distinction), pengecualian (exclusion)…” dan Perkara 1(4) yang menekan kepada ‘objektif’, iaitu diskriminasi positif hanya dibenarkan selagi objektif kewujudannya belum tercapai, dan tidak boleh diteruskan apabila objektifnya sudah tercapai.

• Audit berkala

Tuntutan penghapusan yang boleh memberi kesan kepada beberapa perkara dalam Perlembagaan inilah yang menjadi kebimbangan utama kepada golongan menolak ratifikasi ICERD kerana Perkara 89 dan 153 contohnya tidak ada objektif untuk dicapai sebagaimana disyaratkan. Malah ia berpanjangan dan boleh menyebabkan penolakan kepada reservasi.

Jika diteruskan ratifikasi ICERD ini, masyarakat antarabangsa yang menyertai perjanjian tersebut akan secara berkala membuat audit pelaksanaan, semestinya akan ditimbulkan dari semasa ke semasa dan akan persoal sejauh mana Malaysia telah melaksanakan janji dalam perjanjian tersebut, dan menuntut ia dilaksanakan.

Dalam prinsip asas undang-undang ada satu istilah berbunyi Pacta Sunt Servanda, terma Latin yang bermaksud perjanjian hendaklah dihormati.

Apabila sesebuah negara menandatangani dan meratifikasi mana-mana perjanjian atau konvensyen antarabangsa, negara tersebut hendaklah mematuhi dengan niat suci (in good faith).

Negara tersebut tidak boleh memberi alasan undang-undang tidak membenarkan ia mematuhinya, dan perlu diubah atau dimansuhkan supaya selari dengan kehendak perjanjian telah ditanda tangani.

Perlembagaan Persekutuan telah dipinda beratus kali. Semangat dokumen asal sebenarnya sudahpun dicairkan.

Dan kini sekiranya ICERD diratifikasi besar kemungkinan struktur asas Perlembagaan tersebut boleh berubah, dan perubahan struktur asas Perlembagaan akan merubah asas negara yang melibatkan kedaulatan negara.

Jangkaan kesan-kesan besar yang boleh berlaku jika diratifikasi ICERD memberi amaran bahawa Perlembagaan Persekutuan hendaklah menjadi sesuatu yang amat perlu dijaga dengan baik, supaya matlamat kewujudannya itu tetap turut terjaga dan terlaksana.

Oleh sebab itu, jika ramai rakyat sayangkan negara ini dan mahu ia terus kekal aman dan harmoni berasa tidak senang dengan cadangan supaya diratifikasikan ICERD, mereka mempunyai hak untuk bersuara.

• Masih tergantung

Apabila ada pihak mengatakan mereka yang menolak ratifikasi ICERD sebagai tidak faham Perlembagaan Persekutuan bererti memperlekeh para pakar undang-undang khususnya pakar undang-undang antarabangsa dan pakar Perlembagaan.

Ini bukan cara terbaik untuk mengetepikan hujah lawan selepas Kerajaan Persekutuan mengumumkan tidak akan meratifikasi ICERD, walaupun masih tergantung maksudnya selagi tidak dimuktamadkan dalam Parlimen.

Ini harus diterima walaupun secara berwaspada oleh pencinta Perlembagaan, apatah lagi jika sekiranya ada terselindung hasrat eksploitasi politik oleh pihak-pihak tertentu.

Namun, hasrat murni pengumuman untuk tidak meratifikasi ICERD tersebut disambut dengan penuh kelegaan oleh seluruh rakyat, kecuali beberapa kerat yang masih tidak berpuas hati kerana agenda mereka tidak kesampaian.

Sebab itu, saya berpendapat, adalah wajar rakyat menunjukkan rasa syukur mereka dalam keadaan aman, dan jika mereka memilih untuk melakukannya secara berjamaah pun tidak seharusnya dimomokkan tindakan mereka itu.

Pengajaran di sini adalah, jangan mudah mempermainkan Perlembagaan Persekutuan mengikut selera politik semasa yang berubah-ubah.

Rakyat, khususnya Orang Melayu kini lebih celik Perlembagaan dan ramai berhasrat untuk mempertahankannya.

Malah saya yakin mereka penuh bersemangat dan berdisiplin untuk menurut lunas undang-undang apabila berhimpun dengan aman pada 8 Disember nanti.

Mereka berhak dan mahu melaksanakan hak dalam Perlembagaan menurut Perkara 10 yang menjamin hak berhimpun, termasuk untuk menzahirkan rasa syukur kerana bagi mereka satu bala besar sudah hampir terhindar. — UTUSAN ONLINE

 

  • Penulis ialah Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati)

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.