23 °c
Kuala Lumpur
Thursday, January 17, 2019

ANALISIS: Realisme Ahmad Zahid

oleh Ab Jalil Baker

 

KEPUTUSAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas-tugas Presiden kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan sehingga satu tempoh yang diputuskan kelak merupakan satu kejutan politik kepada rakan dan musuh politiknya.

Ia kejutan kerana dilakukan sebaik sahaja beliau menamatkan satu wawancara bersama UMNO Online yang menjelaskan pelbagai kekeliruan berhubung isu membabitkan akar umbi UMNO dan orang Melayu secara keseluruhannya.

Pada hemat saya, ada tiga isu besar yang melingkari keputusan Ahmad Zahid melepaskan tugas-tugas Presiden iaitu dakwaan beliau cuba mengadakan kerjasama dengan DAP, serangan politik yang menyatakan UMNO tiada hala tuju di bawah kepimpinan Ahmad Zahid dan ancaman Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa akan ada lagi yang keluar parti jika Ahmad Zahid tidak membuat perubahan.

Mungkin isu kerjasama dengan DAP adalah sesuatu yang paling melukakan beliau. Ini dimainkan oleh musuh-musuh dalam parti dan luar parti bagi menunjukkan Presiden UMNO hilang prinsip perjuangan untuk berkuasa.

Sebenarnya sesiapa yang hadir dalam majlis penerangan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz tentu faham bahawa Mohamed Nazri tidak pernah menyatakan UMNO akan bekerjasama dengan DAP.

Mohamed Nazri hanya menyatakan UMNO akan menyokong dan bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dalam tempoh dua tahun akan datang.

Anwar telah mempunyai sokongan DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Malangnya ada yang salah faham sokongan terhadap Anwar bermakna kita bekerjasama dengan DAP. Sokongan Ahmad Zahid kepada Anwar bukanlah kerana mereka sahabat atau mahu mencari kedudukan dalam kerajaan. Sebaliknya ia hanyalah untuk menyelamatkan UMNO daripada berkubur.

Politik UMNO tidak begitu mudah apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad beriltizam mahu UMNO dibubarkan dan ahlinya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ahmad Zahid mendedahkan semalam bagaimana dua pertemuan dengan Dr. Mahathir, Pengerusi Bersatu itu mahu UMNO menyertai Bersatu dengan cara terhina dan hilang maruah.

Justeru, Ahmad Zahid berpandangan UMNO hanya selamat sebagai parti politik jika Anwar menjadi Perdana Menteri.

Semalam juga Ahmad Zahid menjawab dakwaan bahawa UMNO di bawahnya tiada hala tuju, yang sebenarnya telah pun beliau gariskan dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Hala tuju UMNO selepas perhimpunan tempoh hari adalah jelas. UMNO perlu menjadi kerajaan semula bagi menjaga kepentingan bumiputera dan Islam – sama ada lebih awal atau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sudah tentu UMNO dengan 3.6 juta ahli mempunyai pelbagai pandangan dan pendirian.

Namun kekalahan besar kali pertama ini menjadikan sebahagian pemimpin pertengahan UMNO hilang sabar.

Mungkin sebahagian mereka termasuk yang paling vokal, Khairy Jamaluddin sendiri tidak pasti apa yang perlu dibuat dan apa masa depan.

Maka menyalahkan Presiden adalah escapism yang paling realistik walaupun Ahmad Zahid hanya baru menjadi Presiden selama enam bulan.

Faktor terakhir yang mungkin menjadi final straw Ahmad Zahid ialah ugutan dan ancaman Hamzah, broker 36 orang wakil rakyat UMNO bahawa akan ada lagi wakil rakyat keluar parti jika Ahmad Zahid tidak berundur.

Ahmad Zahid seorang yang realis. Daripada membenarkan musuh-musuh luar melemahkan parti menggunakan faktor dalaman, Ahmad Zahid memilih untuk mengorbankan dirinya terlebih dahulu.

Dengan pengumuman penyerahan tugas-tugas Presiden kepada timbalannya, beliau menstabilkan parti buat seketika dan menutup alasan untuk wakil rakyat keluar parti.

Ini merupakan satu checkmate kepada Hamzah. Beliau tentu tidak terfikir bahawa seorang pejuang dan ahli politik tidak mudah putus asa seperti Ahmad Zahid akan mengalah dengan mudah.

Hamzah sudah lama mengenali Ahmad Zahid sebagai seorang yang tidak mudah melatah dan putus asa.

Pada zaman mudanya, Ahmad Zahid pernah menjadi pengkritik Dr. Mahathir biarpun berjawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Dalam sejarah UMNO baharu, mungkin beliaulah satu-satunya Ketua Pemuda yang berani mengkritik Presiden dalam Perhimpunan Agung.

Ramai orang berkata, keberaniannya ketika itu kerana beliau orang Anwar. Namun beliau tetap bersama UMNO ketika dihumban ke ISA dan Anwar memilih jalan reformasi.

Beliau tetap bersama UMNO ketika Dr. Mahathir menyisihkan beliau dan menggugurkan beliau daripada jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Beliau tetap bersama UMNO ketika boleh sahaja mengambil jalan mudah berhenti politik dan menyelamatkan diri daripada pelbagai dakwaan hari ini.

Pastinya bukan mudah untuk Ahmad Zahid mengambil keputusan melepaskan tugas-tugas Presiden kepada timbalannya setelah hanya baru enam bulan memenanginya mengalahkan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh Hamzah. Hanya insan yang berjiwa besar mampu melakukannya.

Saya percaya beliau berbuat demikian kerana tidak mahu parti berpecah-belah kerananya. Bertabahlah Ahmad Zahid. Percayalah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Ahli UMNO hanya berharap dengan keputusan ini jangan pula ada acara membelasah Mohamad bagi menjustifikasi tindakan mereka merebut jawatan dalam parti atau melompat keluar parti lagi.

Wakil rakyat UMNO jangan nanti jadi seperti peribahasa Melayu, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Apa salah kita bersabar dan beristiqamah dengan perjuangan.

 

  • PENULIS ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar).

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.