23 °c
Kuala Lumpur
Thursday, January 17, 2019

Periksa Mata Sebelum Terlambat

TUBUH manusia berubah seiring dengan peningkatan usia. Tidak terkecuali mata turut mengalami perubahan disebabkan proses penuaan.

Kebanyakan orang akan mula menghadapi masalah untuk melihat objek dekat antara usia 40 hingga 50 tahun. Fungsi mata paling jelas merosot selepas usia 50 tahun.

Namun, menjejaki usia emas tidak bermakna anda menjadi rabun atau buta kerana masalah berkaitan mata boleh dicegah atau sekurang-kurangnya dilambatkan dengan langkah pencegahan dan rawatan terkini.

Cuma, jika dibiarkan berlarutan dikhuatiri terjadinya penyakit mata yang lebih serius seperti katarak, glaukoma, Kemerosotan Makula Berkaitan Usia (AMD) dan retinopati diabetes.

Pakar Perunding Oftalmologi, Katarak dan Refraksi dari Pusat Pakar Mata Vista (Vista), Dr. Azhar Zainuddin berkata, katarak tidak semestinya dialami oleh golongan tua sahaja, tetapi boleh juga berlaku pada mereka yang dalam lingkungan usia 30 hingga 40 tahun.

Katanya, ramai beranggapan apabila mengalami katarak bermakna pesakit sudah tidak boleh melihat sedangkan anda boleh melihat, cuma tidak jelas seperti sebelumnya. Katarak menyebabkan kanta mata (yang jernih) menjadi kabur sehingga cahaya tidak dapat sampai ke retina.

“Bagaimanapun, tidak mustahil mata boleh menjadi buta jika katarak tidak dirawat lebih awal. Malah, ia merupakan antara punca utama kebutaan dalam kalangan masyarakat negara ini.

“Pesakit mungkin bimbang untuk menjalani pembedahan, bagaimanapun kemajuan teknologi membolehkan pembedahan katarak berkembang menjadi prosedur mudah dengan risiko yang sangat minimum,” katanya ketika ditemui di Pusat Pakar Mata Vista, The Curve, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Dr. Azhar berkata, sesetengah pesakit tidak mahu berjumpa doktor kerana beranggapan masalah karatak yang dialami tidak serius. Cuma jika tidak diperiksa lebih awal, dikhuatiri pesakit mengalami penyakit mata lain yang lebih serius.

“Sebolehnya, jangan melengahkan masa terutama warga emas yang mungkin mengalami penyakit-penyakit lain seperti diabetes atau jantung sehingga menyukarkan pembedahan dilakukan.

“Perlu diingat, katarak hanya boleh diatasi dengan pembedahan. Tidak ada cermin mata, keajaiban atau ubat titis mata yang boleh merawat katarak,” katanya.

Jelas Dr. Azhar, pemeriksaan mata secara berkala bukan saja dapat membantu mengekalkan penglihatan yang baik, malah membolehkan pengesanan awal dan rawatan terhadap keadaan yang lebih serius seperti glaukoma.

Glaukoma biasanya berlaku akibat tekanan bola mata yang tinggi disebabkan ketidakseimbangan antara produksi dan pembuangan cairan dalam bola mata. Ini mengakibatkan kerosakan kepada jaringan saraf halus retina di belakang bola mata yang sekali gus menurunkan fungsi penglihatan.

Jelas Dr. Azhar, pada peringkat awal, glaukoma tidak menunjukkan sebarang gejala atau simpton yang jelas. Namun terdapat tanda biasa yang mungkin pernah dialami sesetengah pesakit. Antaranya pandangan yang samar, silau atau melihat bayangan lingkaran di sekeliling cahaya lampu dan luas pandangan yang semakin menyempit sehingga pada peringkat akhir individu tidak dapat melihat objek sama sekali.

KESAN DAN CEGAH LEBIH AWAL

Masyarakat dinasihatkan melakukan pemeriksaan mata pada usia 50 tahun atau lebih awal lagi dan bukan hanya diperiksa selepas masalah penglihatan mula timbul.

Seiring dengan peningkatan usia, mereka akan mengalami masalah AMD yang merupakan punca ketiga terjadinya buta selepas katarak dan glaukoma.

Menurut Pakar Perunding Oftalmologi, Dr. Amarjeet Kaur, AMD adalah penyakit kemerosotan retina yang memberi kesan kepada makula iaitu bahagian paling sensitif dalam mata yang membolehkan kita melihat sesuatu secara terperinci.

Katanya, pesakit AMD dapat dikesan pada peringkat lewat iaitu apabila penglihatan terjejas kerana pada peringkat awal, pesakit tidak mempunyai tanda-tanda yang nyata.

“Apabila makula rosak, pesakit tidak dapat melakukan perkara yang biasa dilakukan seperti memandu, membaca, malah sukar mengenali wajah-wajah orang yang ditemui.

“AMD selalunya terjadi pada wanita dan mereka yang mengalami masalah tekanan darah tinggi, merokok, kolesterol tinggi, obesiti dan mempunyai sejarah keluarga yang mengalami masalah tersebut,” kata Dr. Amarjeet.

Masalah mata juga boleh berlaku kepada pesakit diabetes. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2006 mendapati antara 15,000 hingga 39,000 orang hilang penglihatan kerana diabetes.

Menurutnya, pesakit diabetes jenis 1 dan 2 berisiko mendapat penyakit retinopati diabetes. Bagaimanapun, pengesanan awal dengan rawatan yang tepat pada masanya dan penjagaan susulan yang sesuai dapat mengurangkan risiko kehilangan penglihatan yang teruk.

Retinopati diabetes adalah keadaan yang mempengaruhi tugas retina iaitu lapisan saraf yang berada di bahagian belakang mata yang merakam gambar dilihat mata dan menghantar maklumat diperoleh ke otak agar dapat diterjemahkan.

“Pada permulaan, tiada sebarang tanda awal dikesan, tetapi keadaannya boleh menjadi lebih teruk dan lambat-laun berpotensi menyebabkan kehilangan penglihatan atau kebutaan.

“Apabila keadaan ini berlarutan, penglihatan akan terganggu dengan kehadiran apungan atau floaters seperti tompokan atau jalur hitam seperti rambut,” katanya.

Pesakit juga mungkin mengalami masalah penglihatan menjadi kabur, tidak stabil, gangguan penglihatan warna atau wujudnya tompok kosong dalam penglihatan.

Risiko mengalami keadaan itu boleh meningkat akibat tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi serta jika pesakit merokok. Wanita hamil juga mempunyai risiko mengalami diabetes dan retinopati diabetes.

“Bagi mereka yang menghidap diabetes perlu menjalani pemeriksaan retina mata setiap tahun dan ini termasuk wanita hamil, golongan muda mahupun kanak-kanak yang mempunyai masalah diabetes.

“Golongan ini memerlukan pemeriksaan yang lebih kerap dan rawatan awal serta agresif bagi mencegah buta,” katanya.

Tambahnya, walaupun kini terdapat teknologi moden yang dapat membantu rawatan penyakit mata, namun pilihan utama tetap kepada pencegahan bagi mengekalkan struktur dan fungsi semula jadi mata. – UTUSAN ONLINE

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.