23 °c
Kuala Lumpur
Thursday, January 17, 2019

Pembangunan Pulau Pinang Terlalu Padat

Sudah tiba masanya untuk projek pembangunan perumahan di negeri ini dipindahkan ke kawasan seberang berbanding hanya bertumpu di bahagian pulau.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, perkara itu berdasarkan pemerhatian beliau yang mendapati pemba­ngunan di bahagian pulau sudah terlalu padat selain masalah kekurangan tanah.

Dalam masa sama, katanya, pembangunan yang berpindah ke bahagian seberang juga membolehkan bahagian pulau negeri ini terus berkembang sebagai sebuah bandar pelanco­ngan.

“Saya dapati bahagian pulau agak sesak kerana di sinilah pusat pelancongan, perubatan pelancongan dan perindustrian selain Georgetown sendiri adalah Tapak Warisan Dunia.

“Jadi projek pembangunan perumahan di negeri ini boleh dipindahkan ke bahagian seberang, supaya ada lebih banyak ruang di bahagian pulau dan kawasan ini juga boleh di­kem­bangkan semula dan di­baik pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Pameran Hartanah Pulau Pinang (Summit) 2019 di Bayan Baru di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, usaha memperluaskan komuniti dan masyarakat negeri ini dengan memperbanyakkan pembinaan rumah di bahagian seberang tidak sepatutnya menjadi masalah memandangkan terdapat dua buah buah jambatan yang menghubungkan kedua-dua ka­wasan ketika ini.

Malah, katanya, negeri ini juga berkemungkinan mempunyai terowong dasar laut pada masa depan sekali gus memudahkan lagi perhubungan antara bahagian seberang dan pulau.

“Saya juga mendapati pemaju di negeri ini sudah mula memindahkan pembangunan perumahan ke kawasan seberang seperti di Batu Kawan dan ini adalah sesuatu yang bagus,” katanya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Zuraida berkata, pihaknya yakin sasaran untuk membina satu juta unit rumah dalam tempoh 10 tahun atau kira-kira 100,000 unit sebulan bermula tahun ini seperti dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) mampu dicapai.

Tambah beliau, bagi memastikan unit-unit rumah itu terjual, pihaknya juga akan memperkenal beberapa kaedah dan skim yang mempermudahkan rakyat seperti pemilikan sewa dan sebagainya. — UTUSAN ONLINE

 

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.