23 °c
Kuala Lumpur
Thursday, January 17, 2019

Korporat, PKS Bimbang Landskap Ekonomi

Keyakinan dalam kalangan korporat dan perusahaan kecil sederhana (PKS) turun ke tahap terendah sejak kaji selidik Indeks Keyakinan Perniagaan RAM (RAM BCI) dijalankan dua tahun lepas berikutan peningkatan kebimbangan terhadap landskap ekonomi yang lemah.

Menurut Kaji selidik yang dijalankan oleh RAM Holdings Bhd. dan RAM Credit Information Sdn. Bhd. ke atas 3,500 firma di negara ini, indeks korporat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi suku pertama dan suku kedua 2019, masing-masing turun kepada 55.1 mata dan 51.0 mata daripada 55.7 mata dan 53.5 mata pada suku keempat 2018 dan suku pertama 2019.

Katanya, walaupun nilai indeks 50 mata dan ke atas masih menunjukkan sentimen positif, trend menurun ketika ini mencadangkan unjuran peniagaan bagi 2019 adalah kurang memberangsangkan.

Selain itu RAM juga berkata, jumlah firma yang menyatakan keadaan ekonomi lemah sebagai cabaran utama telah meningkat kepada 41 peratus (Korporat) dan 41.2 peratus (PKS) diikuti kenaikan kos dalam menjalankan perniagaan dan peningkatan persaingan.

“Pertumbuhan domestik menurun, permintaan global dan aktiviti pelaburan tidak menentu, serta kurang pemangkin positif, termasuk Belanjawan 2019 yang neutral secara relatifnya, semuanya memainkan peranan secara umumnya terhadap sentimen perniagaan lebih lemah bagi enam bulan akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kaji selidik itu juga mendedahkan, sektor pembinaan paling kurang memberangsangkan dengan kedudukan Indeks PKS pada bacaan sentimen negatif 49.7 mata manakala indeks korporat menurun bagi kali ketiga berturut-turut kepada 53 mata.

“Tanpa sebarang pemangkin baharu pertumbuhan di tengah-tengah segmen hartanah yang tidak seimbang, ditambah pengurangan projek-projek infrastruktur baharu kos tinggi, adalah tidak mengejutkan bahawa sub-indeks pembinaan telah mencecah rekod terendah,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain Hong Leong Investment Bank Research (HLIB Research) berkata, sentimen lemah dalam kalangan pelabur runcit dijangka berterusan pada 2019 terutama bagi sektor pembinaan, hartanah dan bahan pembinaan.

Menurut HLIB Research, ini sebahagiannya disebabkan oleh perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, serta halangan dalaman seperti hutang negara yang besar bernilai hampir RM1 trilion dan prospek korporat yang lembap di tengah-tengah pembatalan atau penangguhan projek-projek mega.

Firma penyelidikan itu juga berpendapat, kejatuhan harga minyak mentah Brent dan ringgit yang lemah akan memperlahankan pertumbuhan minyak dan gas, serta sektor domestik.

Walau bagaimanapun, menurut HLIB Research, masih terdapat beberapa peluang yang boleh dipantau oleh pelabur.

“Berdasarkan tinjauan kami terhadap perang dagangan yang dijangka berterusan, kami menjangkakan beberapa tempahan (berkaitan perabot atau teknologi) di China dapat dialihkan ke negara-negara serantau (ASEAN), yang mana Malaysia boleh menjadi satu daripada negara yang mendapat manfaat daripadanya.

“Selain itu, pelabur boleh menumpukan kepada beberapa strategi dalam Bajet 2019 yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dan insurans untuk kumpulan B40 pada 2019 serta perbelanjaan pembangunan Sabah dan Sarawak yang memberikan prospek lebih jelas pada tahun ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Next Post

Discussion about this post

Login to your account below

Fill the forms bellow to register

Retrieve your password

Please enter your username or email address to reset your password.